AM > BERITA

TPM Ahmad Zahid Ucap Tahniah Kepada Latif Romly, Dua Pemanah Muda Raih Pingat Di Perancis

08/09/2024 01:44 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengucapkan tahniah kepada jaguh olahraga para negara Datuk Abdul Latif Romly yang meraih pingat perak acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di Sukan Paralimpik 2024 Paris.

“Meskipun dipintas di saat akhir, namun pingat perak dalam acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.45 meter adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat Malaysia. Anda inspirasi kami semua!,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada acara itu, Latif Romly terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan 7.45 meter (m) pada percubaan ketiga, manakala lompatan terakhir Matvei Iakushev sejauh 7.51m menyaksikan Atlet Paralimpik Neutral itu, merampas emas darinya yang diraih sejak Rio 2016 diikuti Tokyo 2020.

Dalam hantaran berasingan, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada dua pemanah muda berkuda yang berjaya meraih pingat dalam Gauchoux Open Horseback Archery Competition: European Kids Championship 2024 di Gauchoux, Perancis, baru-baru ini.

Pada kejohanan itu, Abdurrahman Ahmad Mu’az berjaya meraih pingat emas selepas menjuarai kategori bawah 14 tahun (U14), manakala adik perempuannya Heba Nusaybah Ahmad Mu’az muncul naib juara selepas meraih perak bagi kategori bawah 12 (U12).

“Abdurrahman dan adik perempuannya, Heba Nusaybah telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia dalam sukan memanah berkuda. Walaupun hanya mereka berdua yang mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa ini, semangat juang dan dedikasi mereka terbukti tiada tandingannya!

“Saya doakan semoga adik Abdurrahman dan adik Heba Nusaybah terus menjadi inspirasi dan kebanggaan kita semua,” katanya.

Pertandingan berkenaan berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos lepas.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan