AM > BERITA

Program Melaka Explorace Terbesar Anjuran Bernama Sempena TMM2024

08/09/2024 03:30 PM

MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Program Melaka Explorace anjuran Pertubuhan Berita  Nasional Malaysia (Bernama) pada 5 hingga 6 Okt ini merupakan pertandingan terbesar diadakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata acara lain pada Oktober termasuk Minggu Jerman Melaka 2024 (14-17 Okt) dan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024  (31 Okt hingga 3 Nov).

“Bagi bulan ini pula melibatkan Pesta Pantai Melaka dan Festival Layang-layang Gergasi Melaka yang kedua-duanya berlangsung pada 14 hingga 15 Sept,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Seminar Vibrant Melaka: Creating a People-Centric Living Spaces sempena sambutan ulang tahun pertama program Santai@Banda Hilir dan sambutan setahun Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di sini hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Bernama sebelum ini melaporkan, Melaka Explorace akan memberi tumpuan kepada produk pelancongan negeri selain kesan sejarah serta destinasi di setiap daerah di negeri itu yang akan ditonjolkan dalam pertandingan tersebut nanti.

Ia turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan sempena TMM2024 kali ini.

Pertandingan Melaka Explorace akan membabitkan tiga kategori iaitu Terbuka, Media, Agensi Kerajaan Melaka dan Bernama.

Untuk penyertaan boleh klik link berikut di http://bit.ly/47dSZTi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan