AM > BERITA

Laporan PPPM 2023: Akses Pendidikan Meningkat Di Semua Peringkat

08/09/2024 04:21 PM

MUKAH (Sarawak), 8 Sept (Bernama) -- Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Tahun 2023 yang dilancarkan semalam, menyaksikan peningkatan kepada akses pendidikan di semua peringkat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata peningkatan itu boleh dilihat khususnya pada enrolmen prasekolah, menengah atas, serta pemilihan segmen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kesenjangan daripada segi gender serta luar bandar dan bandar sudah merapat dan ini yang kita harapkan bahawa kesenjangan ini dapat segera kita atasi, agar anak-anak kita dapat menikmati kualiti pendidikan yang sama.

“Dalam masa yang sama kita tidak boleh nafikan ada juga kelemahan serta perkara yang perlu kita tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan PPPM 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian di sini, semalam.

Laporan PPPM Tahun 2023 menunjukkan peningkatan akses pendidikan merentas semua peringkat termasuk aspek kualiti kompetensi guru bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kesedaran tentang kesejahteraan psikologi serta penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta.

Jurang kesenjangan pencapaian akademik antara jantina dan status sosioekonomi juga semakin merapat, manakala penambahbaikan pendidikan khas berterusan berjaya meningkatkan kadar kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).

Pada majlis sama, Fadhlina turut menyempurnakan majlis perasmian SK Kampung Tellian yang merupakan projek gantian penuh sekolah daif dilengkapi 24 bilik darjah, blok pentadbiran dan kemudahan asas lain.

Fadhlina serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) berada di Sarawak sempena Program Tindak Susul Parlimen (TSP) di Sibu, Daro dan Mukah pada 6 dan 7 Sept.

TSP merupakan program turun padang bagi meninjau serta menilai secara langsung isu dihadapi di peringkat sekolah dan seterusnya mencadangkan penyelesaian pada pihak berkaitan.

Program yang turut disertai wakil rakyat tempatan itu telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya di Sibu, SK Nanga Semah, SK Kg Kut, Pusat Kegiatan Guru (PKG) Daro, SK Kg Pangtray, SMK Matu, SK Kg Pergau di Daro serta SK Kampong Tellian di Mukah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan