AM > BERITA

Festival Caklempong Terbesar Di Gembox Nilai Sasar 50,000 Pengunjung

09/09/2024 03:21 PM

SEREMBAN, 9 Sept -- Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri akan menganjurkan Festival Caklempong 2024 terbesar di GEMBOX Nilai pada 27 hingga 29 Sept dengan sasaran 50,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Nicole Tan berkata program tiga hari itu turut menyediakan 15 aktiviti kesenian dan kebudayaan khas buat pengunjung.

Beliau berkata melalui program berkenaan seramai 50 pemuzik caklempong dari seluruh negeri ini akan berhimpun untuk memainkan alat muzik tradisional itu yang kini menjadi satu daripada identiti negeri Adat Perpatih ini.

"Kita mahu mempromosikan Negeri Sembilan melalui pelancongan budaya dan satu daripada usaha itu menerusi penganjuran Festival Caklempong ini yang diyakini dapat memperkenalkan identiti negeri kepada masyarakat luar.

“Sebelum ini, kita menganjurkan di Auditorium JKKN sahaja tetapi pada tahun ini kita bawa ke luar bagi memperkenalkan identiti negeri melalui alat muzik caklempong dan dimeriahkan dengan acara menarik lain,” katanya pada sidang media di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris dan Pengarah JKKN negeri Rahmat Md Noh.

Sementara itu, Rahmat berkata muzik caklempong menjadi tunjang utama dalam penganjuran festival ini, selain turut dimeriahkan dengan aktiviti memasak lemak kuning dan pameran bunga lado yang akan menjadi pengisian sampingan untuk menyokong pelancongan budaya di negeri ini.

Beliau berkata festival kali ini menampilkan pelbagai acara seni dan budaya antaranya Konsert Caklempong Extravaganza menampilkan Datuk Zainal Abidin dan penyanyi Baby Shima, Pertandingan Pa'Chik Formasi Berirama, Pertandingan Ratu Telepuk, Pertandingan Tarian Rampaian Seri Sembilan, Hot Air Balloon dan banyak lagi.

Turut diadakan Fun Run Caklempong pada 28 Sept sejauh lima kilometer dijangka melibatkan 1,000 peserta selain acara cabutan bertuah sepanjang festival berlangsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan