AM > BERITA

Kawasan Pelancongan Banda Hilir Rekod Sifar Jenayah - Ab Rauf

09/09/2024 08:53 PM

JASIN, 9 Sept (Bernama) -- Kawasan pelancongan di sekitar Banda Hilir merekodkan kadar sifar jenayah setakat ini hasil daripada pemantauan dan kawalan keselamatan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka terutama di lokasi tumpuan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rekod cemerlang itu sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong tempatan mahupun luar negara untuk berkunjung ke negeri ini sempena kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Kawasan tumpuan khusus seperti Bangunan Stadthuys menerima kunjungan ratusan ribu orang…kita dimaklumkan polis lokasi ini adalah kawasan sifar jenayah sama ada kes seperti kecurian, penyeluk saku dan lain-lain.

“Tiada jenayah seperti kes tersebut dilaporkan di kawasan pelancongan setakat ini dan ia menunjukkan kecemerlangan PDRM dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk mencegah jenayah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Program Polis Komuniti peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini yang turut dihadiri Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan mempereratkan lagi kerjasama dengan polis Melaka dalam meningkatkan tahap dan kawalan keselamatan sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang dijadual berlangsung pada September tahun depan.

Beliau berkata persediaan itu dilakukan lebih awal bagi menerima kunjungan peserta persidangan yang terdiri daripada pemimpin 155 negara seluruh dunia yang akan berkampung selama seminggu di Melaka.

"Justeru hal-hal berkaitan khususnya keselamatan, ketenteraman dan keamanan diserahkan kepada PDRM untuk menyelianya dalam membantu menjayakan agenda besar ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan