AM > BERITA

27 Murid Alami Pening, Muntah Akibat Pencemaran Bau

09/09/2024 09:07 PM

JOHOR BAHRU, 9 Sept (Bernama) -- Seramai 27 pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya di sini mengalami gejala pening dan muntah dipercayai akibat pencemaran bau di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal hari ini.

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse berkata kesemua mereka menerima rawatan awal di sekolah berkenaan oleh doktor dan jururawat dari sebuah klinik kesihatan dan hanya seorang dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Beliau berkata susulan itu sekolah tersebut diarahkan ditutup sekitar 1 tengah hari tadi oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

"Saya dimaklumkan sendiri oleh Menteri Pendidikan melalui telefon selepas saya membawa isu ini kepada beliau," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Puah turut meminta pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas kerana insiden seumpama itu yang boleh membahayakan nyawa orang ramai tidak boleh dikompromi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin ketika dihubungi berkata sekolah tersebut mempunyai dua sesi dengan keseluruhan murid seramai 1,024 orang, 64 guru dan enam orang anggota kumpulan pelaksana.

Beliau berkata sekolah itu ditutup sehari dan tempoh pelanjutan penutupan akan dimaklumkan kemudian.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafi Ghazi menerusi hantaran di Facebook berkata pihaknya mengambil maklum aduan pencemaran bau yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru.

Beliau yang telah melawat ke beberapa lokasi bagi melihat sendiri situasi sebenar dan menilai tahap pencemaran berkata siasatan sedang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri.

Menurut Onn Hafiz siasatan turut dijalankan menerusi Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bagi mengenal pasti sisa bahan kimia terkandung dalam sampel air yang tercemar untuk membendung pencemaran daripada terus merebak. 

"Hasil siasatan mendapati bahan kimia yang dijumpai di kawasan sungai tersebut berpotensi membahayakan kesihatan awam dengan komponen beracun yang telah mencemari udara dan menyebabkan bau yang sangat kuat serta tidak menyenangkan," katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan juga telah diarahkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu pencemaran dengan sebaik mungkin agar tindakan tegas dapat diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar turut memohon agar pengusaha perindustrian dan orang ramai dapat bersama-sama menjaga kebersihan dan kualiti persekitaran untuk kesejahteraan dan kesihatan awam serta memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan