AM > BERITA

Pelajar Sekolah Antarabangsa Labuan Rangkul Hadiah Utama Anugerah IGCSE 2024

10/09/2024 04:55 PM

LABUAN, 10 Sept (Bernama) -- Tiga pelajar Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS), Nur Hanis Batrisyia Ben Har, Jayden Tan Jiing Hao, dan Aireena Melissa Mohamad Syazwuan diumumkan sebagai Pelajar Terbaik Malaysia dalam Anugerah Sijil Am Antarabangsa Cambridge bagi Pendidikan Menengah (IGCSE) 2024 untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim.

Pengetua LIS Fadlin Aimuni berkata anugerah berprestij yang dianjurkan Cambridge University Press and Assessment itu telah disampaikan kepada LIS pada 5 Sept lepas.

“Sebagai ganjaran atas usaha mereka, setiap pelajar akan menerima baucar US$200, dan mereka menerima jemputan untuk menghadiri majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Cambridge di Kuala Lumpur pada 28 Nov untuk menyampaikan ucapan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata IGCSE 2024 untuk Tindakan Menangani Perubahan Iklim diadakan bagi mengiktiraf pelajar yang telah menunjukkan komitmen cemerlang bagi menangani krisis iklim global.

Beliau menambah anugerah itu memberi tumpuan kepada usaha akademik, kurikulum tambahan dan komuniti pelajar untuk memahami dan menangani perubahan iklim.

“Melalui inisiatif ini, pelajar digalakkan untuk melibatkan diri secara mendalam dengan punca dan kesan perubahan iklim dan mencari penyelesaian yang berpotensi.

“Program ini juga menggalakkan tingkah laku mampan dalam sekolah dan komuniti setempat, menyumbang kepada usaha pemeliharaan alam sekitar yang lebih luas,” katanya.

IGCSE ialah kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sama seperti GCSE di United Kingdom, dan diiktiraf di beberapa negara di seluruh dunia.

Fadlin Aimuni berkata pencapaian Nur Hanis, Jayden, dan Aireena menandakan peningkatan peranan golongan muda dalam memacu kesedaran dan perubahan iklim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan