AM > BERITA

Taska Bayi Lapan Bulan Maut Ditutup Serta-merta

10/09/2024 05:29 PM

MELAKA, 10 Sept (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka mengesahkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah ditutup susulan kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, Jumaat lepas.

Pengarahnya Halyjah Muhammad berkata tindakan lak (tutup) itu oleh tiga pegawai penyiasat dan lima anggota pasukan lak berkuat kuasa 5 petang semalam.

"Notis Pemberitahuan Tindakan Lak yang berkuat kuasa semalam diserahkan pasukan lak dan ditandatangani oleh pengusaha taska sebelum notis itu ditampal di pintu masuk dan kawasan sekitar premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan taska berkenaan tidak berdaftar dengan JKM dan masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.

Dalam kejadian 8 pagi Jumaat lepas, Muhammad Al Fateh Amri berusia lapan bulan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup muka dengan kain dan menekup bayi berkenaan dengan bantal.

Susulan itu, seorang wanita berusia 34 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

Sementara itu, Halyjah mengesahkan 27 taska di Melaka telah dikenakan tindakan sejak Ogos lepas kerana tidak berdaftar, dengan sembilan daripadanya telah dikenakan tindakan lak (tutup), kompaun (lapan), dalam tindakan kompaun (sembilan) dan sebuah taska didakwa di mahkamah. 

"JKM juga mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi tujuan pemutihan taska tidak berdaftar serta mengadakan perbincangan dengan Persatuan Taska bagi memastikan mereka segera berdaftar.

“Bagi ibu bapa pula, mereka dinasihatkan agar menghantar anak mereka ke taska berdaftar bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, kerana terdapat pengusaha yang masih berdegil (beroperasi) kerana permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa," katanya. 

Halyjah berkata setakat ini, sebanyak 137 taska berdaftar di Melaka Tengah, 101 di Alor Gajah dan 19 taska di Jasin membabitkan lebih 20,000 kanak-kanak. 

"Pemantauan termasuk jadual harian dan menu terus dilakukan JKM secara berkala dengan senarai taska berdaftar boleh disemak dalam portal JKM di www.jkm.my manakala penyelia dan pengasuh wajib mempunyai sijil kelulusan Kursus Asuhan Permata (KAP)," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan