AM > BERITA

JPA Diminta Keluar Pekeliling Berkaitan Keseronokan Bekerja

10/09/2024 08:01 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan satu Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (PKPA), berkaitan dengan panduan melaksanakan keseronokan bekerja sektor awam sebagai rujukan kepada semua kementerian dan jabatan.

Berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN di sini hari ini, Shamsul Azri berkata beliau amat menekankan keseronokan dalam bekerja, kerana baginya suasana bekerja yang kondusif dan menyeronokkan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada keberhasilan kerja yang cemerlang.

“Walaupun perkara ini nampak mudah, namun jika tidak diurus dan disusuli dengan baik pasti akan menjejaskan hubungan dengan rakan sekerja yang lain,” katanya.

Arahan pekeliling itu merupakan strategi keempat melalui Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) Pembangunan Organisasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, iaitu membudayakan keseronokan bekerja dalam organisasi.

Tiga strategi lain di bawah BKR Pembangunan Organisasi ialah melaksanakan rasionalisasi dan penstrukturan semula agensi; menyemak semula peraturan dan keistimewaan tertentu; serta mengoptimumkan sumber.

Mengulas mengenai strategi ketiga di bawah BKR yang sama iaitu mengoptimumkan sumber, Shamsul Azri berkata sumber-sumber sedia ada, baik dari segi sumber manusia, kewangan, infrastruktur dan sebagainya, perlu diguna secara optimum agar lebih berdaya saing dan menepati sasaran kos yang efisien.

“Selaras dengan itu, saya minta supaya audit perjawatan dan juga pengisian jawatan kritikal dilaksanakan oleh JPA. Perkara ini penting dalam membantu mengoptimumkan sumber perjawatan dan saraan selain turut menjimatkan kos kepada kerajaan,” katanya.

Selain itu, Shamsul Azri berkata beliau telah mengarahkan agar Panduan Layanan Perkhidmatan Pelanggan yang diterbitkan JPA ditambah baik, dengan memasukkan elemen perkhidmatan dalam talian dan elemen pematuhan.

Beliau berkata panduan itu seterusnya akan dimasukkan dalam PKPA untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi lain. 

Penambahbaikan itu, susulan aduan yang diterimanya daripada seorang warga Jepun berhubung isu perkhidmatan dalam sistem janji temu dalam talian Jabatan Imigresen, serta layanan kurang mesra oleh petugas agensi itu.

Shamsul Azri berkata ia salah satu daripada strategi di bawah BKR Pembangunan Organisasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, iaitu untuk memantapkan pengurusan perhubungan pelanggan. 

“Perkhidmatan kaunter perlu ditransformasikan agar menjadi lebih tangkas, profesional, dan mesra,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan