AM > BERITA

Tohmahan JK Harmoni Agenda Pluralisme Agama Tidak Benar - Aaron Ago

10/09/2024 09:35 PM

PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Tohmahan dibuat Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard yang menyatakan penubuhan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) sebagai agenda pluralisme agama di bawah kerajaan, adalah keterlaluan dan tidak benar sama sekali.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerajaan terdahulu melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2020, bersetuju dengan penubuhan JK HARMONI sebagai platform merapatkan jurang antara badan agama Islam dan selain Islam, serta berkongsi pandangan yang memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. 

“Dua fungsi utama jawatankuasa ini termasuk mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian serta berteraskan nilai murni keagamaan, demi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama.

“Ia juga berfungsi untuk melaksanakan aktiviti kesedaran dan keharmonian antara penganut agama demi manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia sebagai maklum balas kepada kenyataan Che'gu Bard semalam yang mendakwa JK HARMONI tidak harus diwujudkan, selain membuat tuduhan palsu bahawa kehadiran anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke rumah ibadat selain Islam (RISI) melalui Program Harmoni MADANI, melibatkan aktiviti ritual dengan tujuan untuk menyamaratakan agama lain dengan Islam.

Bagaimanapun Aaron menekankan pelaksanaan Program Jejak Harmoni iaitu salah satu program di bawah Inisiatif Harmoni MADANI, tidak langsung menyentuh tentang akidah atau amalan ritual mana-mana agama.

“Program ini bertujuan untuk menyebarkan semangat kebersamaan, saling memahami, mengangkat nilai sejagat antara agama, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan Inisiatif Harmoni MADANI mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu ‘Faham, Hormat dan Terima’ bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Aaron berkata pengurusan isu dan cabaran menyentuh konteks perpaduan, memerlukan pendekatan dan inisiatif berterusan bagi memastikan keadaan perpaduan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Sehubungan itu, KPN dengan kerjasama JAKIM telah menjadikan keharmonian antara penganut agama sebagai agenda utama, dalam meningkatkan keharmonian rakyat di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan