AM > BERITA

Pelaburan Dalam Kemahiran Cipta Pekerjaan, Rangsang Ekonomi Mampan

10/09/2024 10:47 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON (Perancis), 10 Sept (Bernama) -- Pelaburan dalam kemahiran penting memandangkan langkah itu merupakan cara yang efektif untuk mencipta pekerjaan dan membina ekonomi mampan.

Presiden WorldSkills International (WSI) Chris Humphries berkata kemahiran ialah kunci kepada memperkasakan belia, mengurangkan ketidaksamaan, merangsang daya saing industri dan menjamin kelestarian.

Beliau berkata WSI menganjurkan pertandingan WorldSkills untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik menerusi pembangunan kemahiran.

"Kami adalah pergerakan global yang bekerja setiap hari untuk menambah baik pembangunan kemahiran di seluruh dunia," katanya pada sidang media hari ini.

Pertandingan WorldSkills diwujudkan untuk mencipta peluang, dengan acara pertama diadakan di Sepanyol pada 1950.

"Hari ini, kita mempunyai pertandingan di peringkat tempatan, serantau, kebangsaan dan antarabangsa, kesemuanya menyasarkan kepada menjadikan kerjaya penting lebih terlihat, dapat diakses dan dihargai," katanya lagi.

Bandar Lyon kini dibanjiri bakat muda dari seluruh dunia sempena penganjuran Pertandingan WorldSkills (WSC 2024) ke-47 di Euroexpo, mulai esok hingga 15 Sept.

Selepas hampir 30 tahun selepas acara pertamanya pada 1995, pertandingan itu kembali ke Lyon, menghimpunkan 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 62 kategori kemahiran.

Majlis perasmian akan berlangsung hari ini di venue terbesar Lyon, Arena LDLC

Malaysia mengambil bahagian dalam 14 kategori termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan