AM > BERITA

KM Gagah Sedia Beroperasi Semula

11/09/2024 02:07 PM

LUMUT, 11 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menerima Kapal Maritim (KM) Gagah setelah selesai menjalani ‘repowering’ atau penggantian jentera utama dan ‘refit’ atau pasang pulih selama 20 bulan oleh Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET). 

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kejuruteraan APMM Kepten Maritim Mohd Rizal Hishamuddin berkata usaha itu bagi memastikan aset agensi berkenaan sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan bersiap sedia menjaga keselamatan perairan negara.

Beliau berkata dengan adanya KM Gagah yang akan kembali beroperasi, ia mampu membantu APMM memperkukuh pengoperasian seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) khususnya di perairan Perak sentiasa berada dalam keadaan selamat. 

"Skop kerja yang dilakukan antaranya penggantian enjin dan penyelenggaraan struktur badan kapal termasuk pelbagai sistem utama merangkumi jentera mekanikal, sistem elektrikal dan elektronik serta kelengkapan lain bagi memastikan jangka hayat kapal dapat ditingkatkan untuk beroperasi lebih lama.

"KM Gagah yang siap dibaik pulih telah melalui fasa Harbour Acceptance Trial (HAT) pada 23 Ogos lepas dan Sea Acceptance Trial (SAT) 28 Ogos di Selat Melaka, malah mampu melakukan operasi di laut dalam jangka waktu tujuh hari tanpa ulang bekal serta mampu capai kelajuan 21.7 knot," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan KM Gagah Bagi Perolehan Repowering Jentera Utama dan Refit Maritim Malaysia di Limbungan UniKL MIMET dekat sini hari ini. 

Turut Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Perak Rizal Effendi Razali; Timbalan Presiden Jaringan Antarabangsa, Industri dan Institusi UniKL Prof Ir Dr Azmi Hassan dan Ketua Cawangan Pengurusan Projek Bahagian Pembangunan Maritim Kepten Maritim Mohammad Nasir Man. 

Mohd Rizal berkata kapal peronda yang dibina pada 1980-an itu dilengkapi dengan sebuah bot jenis rigid hull inflatable boat (RHIB) serta radar i-band bagi memastikan pemantauan secara meluas selain boleh memuatkan 27 anak kapal dalam satu-satu masa. 

"Menjadi harapan kami KM Gagah mampu memberikan hasil dan nilai pulangan pelaburan (ROI) kepada kerajaan melalui penguatkuasaan yang bakal dijalankan kelak.

“Selain itu, KM Gagah juga mampu mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di kawasan perairan negara khususnya di Selat Melaka," katanya. 

Dalam pada itu, Azmi berkata kerja penyelenggaraan KM Gagah telah menggunakan tenaga pakar dari UniKL MIMET dan tenaga mahir tempatan dari pemain industri.

"Projek pembuatan dan pembaikan membuka peluang 117 pelajar UniKL MIMET untuk mempelajari dan memahami kaedah sesuatu projek bertaraf industri sebenar dilaksanakan melalui konsep Teaching Factory serta melibatkan sembilan orang protege dari alumni UniKL MIMET dalam projek ini.

"Projek ini juga telah membuktikan bahawa tenaga mahir yang dihasilkan melalui laluan TVET amatlah diperlukan oleh industri pembinaan dan pembaikan kapal dan pada masa sama membuktikan binstitusi seperti UniKL MIMET memainkan peranan penting untuk melahirkan graduan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam menyokong industri maritim negara," katanya. 

Azmi berkata KM Gagah berukuran 39.5 meter panjang dan 7 meter lebar dengan berat 221 metrik tan itu telah memasuki perkhidmatan Pasukan Polis Marin selama 26 tahun sebelum diserahkan kepada APMM secara berperingkat bermula Jun 2005.

"Projek ini turut dipantau oleh Ship Classification Malaysia (SCM) yang memastikan kerja-kerja dilakukan mengikut piawaian antarabangsa.

"Ia juga merupakan kapal pertama dalam kelas “GAGAH’’ yang menjalani kerja repowering dan refit di limbungan UniKL MIMET," katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan