AM > BERITA

Malaysia Teroka Teknologi UAV, Sasar Hasilkan UAV Tempatan - TPM Ahmad Zahid

11/09/2024 02:26 PM

Daripada Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

SHANGHAI, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan usaha dalam penerokaan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) melalui kerjasama dengan China, termasuk pertukaran dan perkongsian kepakaran serta teknologi dalam bidang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama antara MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd, syarikat ketiga terbesar dalam teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) di China, akan membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi itu.

Beliau berkata teknologi itu banyak digunakan dalam bidang pertanian dan kawasan sempadan, justeru, langkah kerjasama itu membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi UAV bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Sebagai permulaan, syarikat ini akan memindahkan teknologi ini kepada University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Sepang untuk melatih pelajar dalam pembuatan UAV selain akan mulakan pemasangan pertama UAV pada bulan depan dengan sasaran penghasilan awal sebanyak 3,000 unit setahun.

“Pada tahun hadapan, syarikat ini akan melabur RM100 juta untuk membuka premis kekal bagi melatih pelajar dalam bidang TVET,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkenaan di bandar itu di sini, hari ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan