AM > BERITA

Program Pertukaran Pelajar Antara Platform Tingkatkan TVET

11/09/2024 03:44 PM

ALOR GAJAH, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan komited menjadikan program pertukaran pelajar sebagai platform kerjasama dengan negara luar sebagai usaha mempertingkatkan kualiti dan pengalaman peserta program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Rospiagos Taha berkata ini termasuk program pertukaran pelajar dengan negara maju seperti Jepun, China dan Amerika Syarikat serta kerjasama terbabit dilihat mampu memberi impak besar dalam memastikan pelajar TVET negara tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi. 

"Setakat ini negara luar sangat terbuka untuk berkolaborasi berkaitan TVET dan kita sendiri akan memperbanyakkan lagi usaha-usaha toleransi dan kerjasama yang bukan sahaja bersama Jepun, tetapi juga negara lain yang mendahului kita dalam industri. Amerika Syarikat satu daripada negara yang sedang kita sasarkan," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pertukaran Pelajar National Institute of Technology Nagaoka College (NITNC)-Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah ADTEC Melaka Dr Norhuda Salim. 

Rospiagos berkata antara bidang yang akan menjadi keutamaan dalam program kerjasama itu ialah berkaitan automotif, infomasi dan teknologi (ICT) serta kenderaan elektrik (EV) yang kini merupakan industri paling bergerak pantas.

Beliau berkata setakat ini lapan program pertukaran pelajar dan kerjasama dilaksanakan di samping kerjasama dengan industri tempatan dan luar negara. 

"Kita juga sedang melipatgandakan kerjasama dengan industri-industri dalaman supaya kualiti program TVET di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan ADTEC terus meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan keperluan tenaga kerja di luar sana," katanya. 

Menurut Rospiagos program pertukaran pelajar antara NITNC dan ADTEC sejak 2015 perlu diteruskan malah dipertingkatkan bagi memberi peluang peserta dari kedua-dua negara bertukar pengalaman, pengetahuan dan aspirasi yang merentasi bahasa dan budaya. 

Sejak 2015, katanya sebanyak 37 pensyarah dan 40 pelajar dari Institut Jabatan Tenaga Manusia dihantar selama sebulan ke Jepun dan telah menerima manfaat manakala ADTEC pula menerima 29 pensyarah dan 149 pelajar dari Nagaoka Kosen sepanjang tempoh berkenaan.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan