AM > BERITA

Pameran MATTA Tarik Pengunjung Ke Pavilion, Reruai Salam Taiwan

11/09/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berlangsung baru-baru ini telah menarik ramai pengunjung ke Pavilion Taiwan dan reruai Salam Taiwan yang mempamerkan kekayaan budaya serta potensi pelancongan negara itu.

Sebagai sebahagian komitmen untuk mempromosikan pelancongan yang selari dengan nilai-nilai islamik, Salam Taiwan berusaha untuk mewujudkan persekitaran inklusif bagi pelancong sambil meneroka destinasi baharu.

Biro Pelancongan Taiwan dalam kenyataan hari ini menyebut kehadiran Duta Salam Taiwan penyanyi popular Nabila Razali bersama pempengaruh Intan Serah dan Safwan Nazri pada pameran itu menjadi bukti kepada misi berkenaan.

“Kerjasama antara tokoh berpengaruh ini dan sektor pelancongan Taiwan bertujuan mempromosikan bukan sahaja pelancongan, tetapi juga pertukaran budaya antara Malaysia dengan Taiwan.       

“Pameran MATTA menjadi platform ideal untuk inisiatif ini, membolehkan pengunjung mengetahui lebih lanjut tentang apa yang menjadikan Taiwan sebagai destinasi yang wajib dikunjungi pelancong Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Nabila yang juga pelakon terkenal turut berkongsi pengalaman beliau dalam penggambaran video “Jom Taiwan”, memaparkan pelbagai tarikan dan pengalaman di negara itu.

“Semangat penyanyi dan pelakon terkenal itu terhadap budaya dan hospitaliti Taiwan telah memberi inspirasi kepada hadirin, mendorong ramai untuk mempertimbangkan Taiwan sebagai destinasi percutian,” menurut kenyataan itu.

Pemain bola sepak wanita pertama Malaysia yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, Intan Serah pula membawa perspektif unik ke pameran berkenaan dengan berkongsi perjalanan peribadinya dalam sukan dan lakonan sambil menekankan kepentingan pelancongan dalam memperluas wawasan.

“Keperibadiannya yang dinamik dan penceritaan yang mudah difahami memikat hadirin, malah  menggalakkan mereka untuk menerokai bukan sahaja Taiwan, tetapi juga potensi diri mereka melalui pelancongan,” menurut kenyataan itu.

Safwan yang dikenali menerusi kandungan interaktif di platform media sosial pula berkongsi pandangan tentang perjalanan dan pengalamannya di Taiwan dengan menonjolkan kepelbagaian landskap, hidangan kulinari termasuk kegemaran tempatan dan kekayaan budaya Taiwan.

“Dengan sokongan profil tinggi daripada tokoh awam yang disayangi, jelaslah bahawa minat terhadap pelancongan Taiwan dijangka meningkat dengan ketara menjelang Tahun Melawat Taiwan 2025,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan