AM > BERITA

Pesta Air Kuala Perlis 2024 Sasar Kehadiran 10,000 Pengunjung

11/09/2024 06:34 PM

KUALA PERLIS, 11 Sept (Bernama) -- Acara tradisi di negeri ini iaitu Pesta Air Kuala Perlis kembali lagi selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019 berikutan pandemik COVID-19, dan akan bermula esok hingga 15 Sept dengan sasaran kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata angka itu mampu dicapai memandangkan ia berlangsung pada musim cuti sekolah sekali gus akan merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

"Beberapa tahun lepas terhenti sebab COVID … namun kini alhamdulillah, penyertaan daripada masyarakat Kuala Perlis amat menggalakkan, mereka sangat teruja untuk menghidupkan kembali tradisi lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong dan Pertandingan Hero Kebersihan Komuniti 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata antara pengisian pesta air itu ialah pertandingan kayuh perahu yang melibatkan penyertaan 14 kampung dari sekitar Kuala Perlis serta dua pasukan jemputan dari Thailand, selain pertandingan perahu berhias.

Che Murad Sayang berkata Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail akan berangkat merasmikan pesta air itu pada Jumaat ini.

Sementara itu, menurut kenyataan media dikeluarkan Kerajaan Negeri Perlis, Program Gotong-Royong dan Pertandingan Hero Kebersihan Komuniti 2024 diadakan bertujuan menggalakkan penduduk Kuala Perlis bersama-sama menjaga kebersihan di samping membantu mereka menjana pendapatan melalui sisa kitar semula yang dikumpulkan.

"Pelaksanaan program dan pertandingan itu diharapkan dapat memberi impak positif kepada kawasan Kuala Perlis … semoga ia menjayakan matlamat Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 14 kampung di sekitar Kuala Perlis menyertai pertandingan itu dan Hero Kebersihan Komuniti 2024 jatuh kepada Kampung Tanah Baru yang berjaya merekodkan kutipan sampah terberat sebanyak 1,208 kilogram.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan