AM > BERITA

Kerajaan Negeri Sembilan Sasar 35 CLQ Menjelang Tahun 2028

11/09/2024 08:03 PM

SEREMBAN, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan pembinaan sebanyak 35 Kuaters Pekerja Berpusat (CLQ) menjelang tahun 2028, bagi menampung sekurang-kurangnya 150,000 pekerja warga asing di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J. Arul Kumar berkata setakat ini, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menerima 17 permohonan bagi membina CLQ dengan 6,056 katil.

Beliau berkata daripada permohonan itu, sebanyak lima CLQ siap dibina dan mula beroperasi bagi menempatkan 712 pekerja asing, iaitu di Sri Sendayan, Bandar Enstek dan Mantin.

“Di Seremban melalui MBS kita menerima 17 permohonan untuk CLQ dan daripada jumlah itu tujuh sedang dibina manakala lima lagi belum dibina.

“Setakat ini kita mempunyai lebih kurang 150,000 pekerja warga asing, daripada jumlah itu dianggarkan perlu ada 35 CLQ di negeri ini iaitu 80 peratus di daerah Seremban, selebihnya di Tampin, Jempol dan Port Dickson,” katanya kepada pemberita di Wisma Negeri dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu berkata semua pemaju kawasan pembangunan industri baharu di negeri itu, digalakkan menyediakan tapak asrama pekerja dalam kawasan pembangunan mereka.

Beliau berkata tindakan ini penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat menampung penginapan pekerja asing secara terancang, pada masa akan datang.

“Kami berharap semua majikan dapat memberi kerjasama bagi memastikan Akta 466 iaitu Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, dapat dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

“Setiap majikan perlu membina CLQ dengan mematuhi semua syarat ditetapkan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), antaranya penempatan kawasan itu wajib berpagar dan dapat dikawal serta mempunyai semua kemudahan asas kepada pekerja warga asing.

“Ini akan menjamin hak setiap pekerja warga asing itu mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan