AM > BERITA

Program CSSP Di Geneva Tingkat Keupayaan Saintifik Negara - Chang

11/09/2024 11:30 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Program Pelajar Musim Panas Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah CERN (CSSP) di Geneva, Switzerland di bawah kelolaan Akademi Sains Malaysia (ASM) berjaya meningkatkan keupayaan saintifik negara, selain mempromosi kerjasama antarabangsa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata program itu juga berupaya merangsang minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Beliau berkata sehubungan itu, Malaysia akan terus melihat kepada peluang untuk meningkatkan penyertaan pelajar dalam program berprestij antarabangsa seperti itu, dengan yang terkini penghantaran dua pelajar institusi pengajian tinggi ke program itu, baru-baru ini.

“Ini antara usaha kami untuk membawa lebih ramai pelajar dari Malaysia berada di peringkat global, di institut penyelidikan terkenal antarabangsa seperti CERN, juga usaha kami untuk membawa lebih banyak tarikan dan minat dalam Sains, Fizik, Pengkomputeran dan Kejuruteraan dalam kalangan pelajar kami, ” katanya.

Chang berkata demikian dalam sidang media di sini selepas bertemu dua pelajar terlibat, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ASM Hazami Habib.

Pelajar tersebut ialah Shim Zi Jun, 23, pelajar Ijazah Sarjana Kejuruteraan Awam di University of Nottingham dan Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, pelajar Ijazah Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Mereka antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang mengambil bahagian dalam program CSSP di Geneva dari 1 Julai hingga 25 Ogos.

Chang berkata penyertaan pelajar dalam CSSP, dapat meningkatkan pengalaman mereka untuk meluaskan jaringan antara penyelidik dan saintis dari luar negara, sekali gus memberi pendedahan awal berkaitan bidang yang diceburi.

“Seperti yang Nabilah katakan, ramai daripada mereka (saintis muda) mungkin tidak mempunyai idea bagaimana meneruskan haluan mereka, jika mahu meneruskan dalam sektor penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Sementara itu, Nabiilah yang berasal dari Shah Alam berkata pengalaman hampir dua bulan di CSSP  disifatkan sebagai peluang yang cukup berharga untuk membantunya meningkatkan kebolehan dan keupayaan dalam bidang sains.

“Sepanjang di CERN, kami berpeluang mengunjungi kilang anti jirim, sebelum ini hanya tengok video sahaja. Kami dapat pelajari mengenai persediaan uji kaji dalam pusat itu.

“Ada juga siri syarahan sains daripada penyelidik terkemuka dari seluruh dunia dan kami berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada mereka,” katanya.

Sementara itu Shim berkata walaupun latar belakang beliau berkaitan kejuruteraan, namun setiap program di CSSP amat mudah difahami dan mendedahkan beliau dengan pengalaman sains yang luar biasa.

“Saya sukakan sains dan mudah untuk memahaminya. Saya berharap kita boleh adaptasi teknologi tersebut dan bertukar-tukar pakar daripada CERN, kerana jika kita bekerjasama mereka akan membantu membimbing dan menyelaraskan kita dengan sebetulnya,” katanya.

Sejak 2012, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan ASM telah menghantar 25 pelajar Malaysia ke CSSP, termasuk pada edisi 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan