AM > BERITA

YIA Angkasa Sasar Kutipan Wakaf Infaq Sebanyak RM7.2 Juta Setahun

12/09/2024 10:06 AM

KOTA BHARU, 12 Sept (Bernama) -- Yayasan Infaq Angkatan (YIA) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan kutipan wakaf sebanyak RM7.2 juta setahun untuk menyokong perancangan dan keperluan umat Islam di negara ini.

Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata jumlah itu berdasarkan bilangan ahli yang kini seramai 7.2 juta, dengan andaian setiap ahli menyumbang RM1 seorang.

"Pihak ANGKASA sendiri akan menyumbangkan sebanyak RM1.5 juta setahun kepada yayasan. Kami berharap lebih ramai individu dan pihak korporat akan turut membuat wakaf infaq. Setakat Ogos tahun ini, kami telah menerima kutipan sebanyak RM2 juta daripada pelbagai pihak.

"Kutipan daripada wakaf infaq ini akan digunakan untuk menjalankan pelbagai aktiviti, termasuk merancang penyediaan satu bangunan wakaf di setiap negeri untuk membantu memperkukuhkan ekonomi setempat. Setakat ini, YIA telah membeli bangunan di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, dan Pulau Pinang," katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Global Teknologi Wakaf dan Ekonomi Perniagaan dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah yang juga pengasas YIA berkata persidangan bertaraf antarabangsa ini merupakan yang pertama diadakan dengan kerjasama UMK.

Ia dihadiri oleh 76 peserta secara hibrid dari luar negara, termasuk Filipina, Thailand, dan Kemboja, serta melibatkan ahli akademik, pihak industri, dan agensi kerajaan.

"Persidangan ini boleh menjadi platform untuk berbincang, berkongsi pengetahuan, dan membina kolaborasi dalam merangka potensi wakaf melalui penerapan teknologi. Selain itu, ia juga bertujuan memperkenalkan kajian terkini dan amalan terbaik dalam bidang perniagaan bagi menjadikan wakaf sebagai instrumen kewangan yang lebih berkesan

"Penganjuran ini juga seiring dengan agenda Malaysia MADANI yang bertujuan memperkasakan amalan wakaf di peringkat nasional dengan sokongan dan penyertaan pihak korporat," katanya.

Beliau berkata sejak penubuhan YIA pada 2010, sebanyak RM30 juta berjaya dikutip dan daripada jumlah tersebut, RM17 juta telah diagihkan untuk pelbagai projek pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan