AM > BERITA

Harapan, Permintaan Rakyat Terhadap Perkhidmatan Awam Semakin Meningkat - KSN

12/09/2024 02:31 PM

KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) -- Harapan dan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan awam semakin bertambah seiring peningkatan pendidikan dan pendapatan dalam kalangan rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata dalam usaha mereformasikan perkhidmatan awam dengan segera demi membangunkan kompetensi awam dalam pelbagai aspek maka kemahiran kepimpinan dalam kalangan penjawat awam seperti kecergasan emosi, komunikasi, peningkatan prestasi, kesedaran diri dan berdaya tahan perlu dipertingkatkan bagi menghasilkan tatakelola yang baik serta merangsang produktiviti. 

"Sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, reformasi sektor awam perlu memastikan penjawat awam yang berprestasi tinggi mempunyai kemahiran, nilai dan etika kerja terbaik. Perkhidmatan awam mestilah berpaksikan kepada people centric dengan menambah baik kecekapan, menggalakkan inovasi, dan mengukuhkan ekosistem tatakelola. 

"Oleh demikian, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu ditetapkan bagi mengukur keberkesanan pelaksanaan program, memastikan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta pematuhan terhadap tatakelola yang baik," katanya ketika menyampaikan amanat sempena Majlis Kepimpinan KSN Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri Sabah 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan awam perlu lebih peka dengan keperluan semasa dan kehendak rakyat serta pihak berkepentingan.  

"Misalnya, mereka bentuk inovasi penyampaian perkhidmatan yang perlu disesuaikan dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa seperti memproses ribuan permohonan dalam tempoh yang singkat yakni cuma dalam beberapa jam sahaja.

"Perkembangan pesat teknologi digital sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam penyampaian perkhidmatan awam. Misalnya, jika dahulu permohonan pelbagai lesen, kad pengenalan atau pasport mengambil tempoh masa yang panjang untuk disiapkan. 

"Dengan aplikasi secara meluas teknologi digital membolehkan ia disiapkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Para pelanggan juga tidak perlu menghabiskan masa beratur panjang kerana permohonan dan kelulusan juga boleh dilaksanakan secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata sebagai contoh reformasi sektor awam ialah inisiatif yang diambil oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dengan memberikan perkhidmatan terus kepada golongan yang memerlukan seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), pesakit terlantar, dan tiada keupayaan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN.

"Pihak JPN Sabah telah memperkasakan Program MEKAR dengan menyediakan perkhidmatan tambahan di kawasan pedalaman, antaranya mengambil gambar secara percuma, khidmat pesuruhjaya sumpah, percetakan dan serahan dokumen. Perkhidmatan ini disediakan untuk membantu pemohon meringankan beban keluar ke bandar bagi mendapatkan perkhidmatan di atas," katanya.

Shamsul Azri berkata setelah pengumuman Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SSPA) oleh Perdana Menteri, beliau mahu mengajak seluruh warga perkhidmatan awam di Sabah untuk bersama-sama menjayakan aspirasi yang dinamakan “Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam”.

"Ia akan menumpukan kepada lima Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) iaitu Penghayatan Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Memperkasakan Sinergi Awam dan Swasta.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan