AM > BERITA

NAFAS Tampil Empat Produk Perapan Baharu Sempena MAHA Ke-100

12/09/2024 04:04 PM

SERDANG, 12 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperkenalkan empat jenis produk perapan baharu di bawah jenama Peladang bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024) yang ke-100.

Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi NAFAS Syahrul Musa berkata produk itu ialah kambing perap, ayam perap, daging harimau menangis dan daging perap batang pinang.

Beliau berkata produk baharu itu buat kali pertama diperkenalkan kepada masyarakat sebelum dijual di pasaran dijangka Oktober ini di 26 lokasi stesen Petronas.

"Kelebihan produk baharu itu ialah ia membawa jenama Peladang yang diyakini dari segi halalan toyyiban iaitu bukan sahaja halal, tetapi bersih dan berkualiti. Hal itu menjadi asas kukuh produk dibawa ke pasaran selari dengan imej Malaysia sebagai hab halal dunia," katanya ketika ditemui pada pameran itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Syahrul berkata produk itu dijual pada harga berpatutan iaitu RM38 per pek atau RM100 untuk tiga pek manakala pengunjung dapat menikmati harga RM35 pada jualan happy hour yang akan diadakan pada hari minggu.

Selain itu, produk lain juga ditawarkan pada harga berpatutan seperti ayam bulat dengan berat kira-kira 1.2 kilogram dan ayam potong seberat 700 gram pada harga RM8 dan jualan happy hour berharga RM6.

"Sasaran jualan untuk produk baharu ialah 2,000 pek sepanjang MAHA berlangsung manakala ayam bulat dan ayam potong mencapai 5,000 pek memandangkan jumlah pengunjung yang tinggi dan berpotensi," katanya.

Syahrul berkata produk Peladang mampu menjadi tarikan pengunjung pada MAHA memandangkan ia merupakan produk makanan keperluan masyarakat yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

Beliau berkata NAFAS sentiasa berusaha meluaskan pasaran eksport bagi produk-produk di bawah jenama Peladang yang berkeupayaan contohnya makanan ringan dari Sabah dan Sarawak iaitu amplang dan tebaloi yang berjaya menembusi pasaran Jepun.

MAHA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 Sept di MAEPS.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan