AM > BERITA

Kempen 9.9: Shopee Pacu Peningkatan Jualan Penjual Tempatan Melalui Shopee Live

12/09/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Shopee berjaya memacu peningkatan jualan lebih 6.5 kali ganda buat penjual tempatan yang menyertai Shopee Live pada kempen jualan 9.9 Hari Pembelian Hebat berbanding hari biasa.

Menurut Shopee, hampir 100 juta interaksi pengguna direkodkan sepanjang tempoh kempen itu yang dipacu lonjakan trafik pengguna baharu dan tempoh keterlibatan pengguna lebih lama dengan lebih ramai pengguna menyaksikan strim langsung berinteraktif dan menikmati diskaun eksklusif.

“Dengan aktiviti keterlibatan pengguna yang lebih kukuh, Shopee Live mentransformasikan pengalaman membeli-belah dan membawakan hasil ketara buat penjual.

“Ini menunjukkan peranan kukuh Shopee Live yang menghubungkan penjual dengan audiens dengan pengalaman membeli-belah dinamik dan menghiburkan lalu memacu jualan,” menurut Shopee dalam satu kenyataan hari ini.

Antara penjual cemerlang Shopee Live berdasarkan jumlah pesanan ialah ELGINI Apparel, Momohouse, HYGR, Hollywood Motorsport dan KL Pharmacy.

Menurut Shopee, penjual Malaysia yang menyertai kempen jualan itu buat kali pertama menyaksikan peningkatan jualan 10 kali ganda berbanding hari biasa.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit dalam kenyataan itu berkata Shopee turut menyaksikan usahawan tempatan mencatat pertumbuhan jualan lebih empat kali ganda melalui kempen 9.9 tahun ini yang dipacu permintaan kukuh pelbagai kategori produk.

“Kategori Kesihatan dan Kecantikan, Rumah dan Gaya Hidup serta Barangan Runcit dan Haiwan Peliharaan muncul kategori teratas dengan produk popular termasuk alat solek, termos keluli tahan karat, jersi Muslimah, bank kuasa, dan masker penjagaan kulit,” katanya. 

Walaupun Lembah Klang kekal sebagai pasaran utama, Shopee juga menyaksikan peningkatan pengguna dari kawasan lain dengan lima bandar utama di luar Lembah Klang yang cemerlang berdasarkan jumlah pesanan pada kempen itu ialah Johor Bahru, Kinta, Seremban, Kuantan dan Melaka Tengah.

“Keterlibatan yang meluas ini mencerminkan komitmen platform dalam membantu perniagaan tempatan mengembangkan jangkauan mereka ke seluruh negara.

“9.9 Hari Pembelian Hebat Shopee membuktikan keupayaan platform ini untuk memperkasakan perniagaan tempatan dan memacu pertumbuhan jualan. Shopee kekal komited bagi memperkasakan penjual tempatan dan memupuk ekosistem e-dagang yang berkembang maju di Malaysia,” menurut Shopee.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan