AM > BERITA

WorldSkills Lyon: Belia Malaysia Laksana Tugasan Dengan Cemerlang

12/09/2024 04:48 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON (Perancis), 12 Sept (Bernama) -- Memasuki hari kedua pertandingan WorldSkills (WSC 2024), belia Malaysia menunjukkan prestasi cemerlang dengan mempamerkan kemahiran terbaik mereka di pentas dunia.

Tinjauan Bernama mendapati mereka melaksanakan setiap tugasan dan modul yang ditetapkan dengan baik tanpa kekok, walaupun kawasan pertandingan dipenuhi ratusan pengunjung dari pelbagai segmen.

Ratusan pengunjung terdiri daripada pakar, belia dan pelajar menghadiri WSC 2024 di Eurexpo di sini bagi menyaksikan lebih 62 kategori kemahiran.

Pada WSC kali ini, pengunjung turut diberikan peluang untuk mencuba dan meneroka setiap kemahiran yang ada antaranya terapi kecantikan dan pastri dan konfeksi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad ketika meninjau WSC 2024 semalam berkata prestasi kemahiran belia negara berada di tahap tertinggi dan memuaskan.

“Saya doakan kalau boleh semua 15 belia dapat emas walau bagaimanapun ia bergantung pada penilaian juri.

“Penilaian bermula darip peserta membuka beg hingga selesai kerja,” katanya.

WSC 2024 bermula 10 sehingga 15 Sept ini menghimpunkan 1,400 pesaing dari lebih 70 negara dan wilayah, untuk bersaing dalam 62 kategori kemahiran.

Malaysia mengambil bahagian dalam 14 daripada kategori ini, termasuk Integrasi Sistem Robot, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Teknologi Kenderaan Berat dan Pembinaan Digital.

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat pada Pertandingan WSC 2024.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada WSC di Lyon pada bulan ini.

Insentif khas kepada peserta itu sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan