AM > BERITA

Manfaat Kemudahan 35 NADI Di Pulau Pinang, Program Keusahawanan Digital Turut Disediakan

12/09/2024 06:52 PM

BUTTERWORTH, 12 Sept (Bernama) -- Masyarakat setempat disaran memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di 35 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang beroperasi di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata NADI bukan hanya menyediakan capaian internet berkelajuan tinggi, tetapi berupaya meningkatkan taraf hidup mereka melalui perkhidmatan pintar yang dilaksanakan.

“Ia juga memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat, di mana nilai tambah tersebut merangkumi kelas-kelas serta program yang memfokuskan kepada keusahawanan digital. Program ini memberi bimbingan dan latiha tentang cara menggunakan kaedah digital ini untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian.

“Ia termasuk cara menggunakan peralatan, membuat promosi, dan menghasilkan poster, yang akan diajar oleh tenaga pelatih yang dilantik. Kelas dan program ini bukan sahaja dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tetapi juga dengan kerjasama Digital Pinang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan NADI Sungai Dua di sini hari ini.

Selain kelas dan program keusahawanan, Zairil berkata antara hasrat kerajaan melalui penubuhan NADI ini juga adalah untuk mendidik warga emas supaya celik digital agar tidak mudah terperangkap dan terpedaya dengan penipuan atau scam yang sering berlaku pada masa kini.

Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 35 NADI telah beroperasi di Pulau Pinang setakat ini dan Kementerian Komunikasi melalui MCMC sedang menambah enam lagi, menjadikan 41 NADI secara keseluruhan menjelang hujung tahun ini.

“Perdana Menteri ketika lawatannya ke negeri ini pada 16 Feb lepas mengumumkan pembinaan dan pengoperasian 38 NADI baharu di Pulau Pinang yang ketika itu dikenali sebagai Pusat Ekonomi Digital (PEDi). 

“Daripada 38 NADI baharu itu, 32 telah pun siap termasuk dengan tiga sedia ada untuk menjadikan NADI yang beroperasi ketika ini adalah 35. Enam lagi akan siap hujung bulan ini,  menjadikan keseluruhan 41 NADI dengan satu NADI untuk setiap DUN (Dewan Undangan Negeri)," katanya.

Beliau berkata NADI Sungai Dua yang terletak di Taman Merbau Indah di sini telah beroperasi sejak 10 Jun lepas dan boleh memuatkan sehingga 20 orang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan