AM > BERITA

DUN Mahkota: Nadi Pembangunan Dan Kemajuan Daerah Kluang

12/09/2024 06:21 PM

KLUANG, 12 Sept (Bernama) -- Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang terletak di pusat bandar Kluang merupakan ‘nadi’ kepada daerah berkenaan, memandangkan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran serta kawasan tumpuan perindustrian dan perniagaan.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kluang Mohd Faiz Mohd Salleh berkata DUN Mahkota dihuni seramai 79,707 penduduk dengan majoritinya bekerja di sektor awam atau swasta, selain dalam bidang industri.

"Faktor ini turut dipengaruhi oleh kehadiran beberapa kawasan perindustrian dengan kira-kira 500 kilang. Selain itu, daerah Kluang juga menempatkan kilang-kilang gergasi termasuk kilang jubin terbesar yang menghasilkan produk berkualiti tinggi sehingga menembusi pasaran antarabangsa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Faiz berkata perkembangan ekonomi juga membawa kepada pembangunan infrastruktur yang baik, termasuk jaringan jalan raya yang menghubungkan kawasan tersebut dengan daerah lain seperti Batu Pahat, Mersing dan Kulai.

Selain itu, Stesen Keretapi Kluang yang terletak dalam kawasan DUN Mahkota turut berperanan menghubungkan daerah-daerah berhampiran seperti Segamat dan Kulai, katanya.

Beliau turut berpandangan kawasan DUN Mahkota akan menjadi tumpuan utama serta mendapat limpahan ekonomi apabila Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (Gemas-JB EDTP) dijangka siap pada 2025.

Gemas-JB EDTP adalah projek perkhidmatan tren elektrik sepanjang 192 kilometer meliputi empat daerah utama di Johor iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru.

"EDTP ini bakal menyaksikan beroperasinya ETS milik Keretapi Tanah Melayu Bhd, yang secara tidak langsung dapat merancakkan sektor pelancongan kerana akan menghubungkan laluan dari selatan dan utara tanah air," katanya.

Menyentuh sektor pelancongan, Mohd Faiz berkata antara lokasi menarik tumpuan pelancong ialah Kluang Rail Coffee. Tempat ini terkenal dengan minuman berasaskan kopi dan telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kopitiam tertua di Malaysia.

Kluang Rail Coffee  yang terletak di Stesen Keretapi Tanah Melayu Kluang bermula sebagai perniagaan keluarga pada 1938, kini ia menjadi 'ikon’ daerah tersebut dan merupakan 'lokasi wajib singgah' kepada pelawat yang mempunyai urusan di kawasan berdekatan.

"Turut menjadi tumpuan ialah Rumah Seni, sebuah banglo yang dihiasi dengan lukisan tiga dimensi (3D) di keseluruhan dindingnya. Lukisan-lukisan tersebut termasuklah gambaran lokasi tempat pembukaan daerah Kluang, iaitu Kampung Palembang yang dikatakan mempunyai banyak keluang (sejenis kelawar besar) ketika ia dibuka," katanya.

Daerah Kluang akan menjadi tumpuan mulai Sabtu ini, apabila 'gelanggang' Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota dibuka secara rasmi dengan proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini, disusuli hari pengundian pada 28 Sept manakala pengundian awal pada 24 Sept ini.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara akan menunaikan kewajipan memilih wakil rakyat baharu DUN itu.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, dari Barisan Nasional (BN) pada 2 Ogos lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan