AM > BERITA

Bernama Bikers Club Anjur Kembara Patriotik Ke SMK Seri Manjung

12/09/2024 06:34 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Buat julung kalinya, Bernama Bikers Club (BBC) menganjurkan Program Kembara Kasih Hari Kebangsaan @Bernama ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, Perak bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan ahli sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Setiausaha BBC Zarin Noordin berkata program itu, yang bermula hari ini hingga 13 Sept dan dikhususkan untuk ahli kelab, disertai oleh 14 orang untuk melakukan perjalanan bermotosikal sejauh 162 kilometer.

“Kami memilih lokasi di Manjung sebab daerah ini telah melahirkan ramai pempengaruh media sosial termasuk Ryan Bakery dan Aminabid yang baru menang anugerah anjuran TikTok bagi kategori Education Creator of The Year.

“Program ini melibatkan banyak aktiviti bersama pelajar khususnya aspek pendidikan tentang media sosial terutama literasi media selain berkongsi peranan Bernama sebagai agensi media nasional,” katanya sejurus pelepasan peserta program itu di sini hari ini oleh Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nasriah Darus serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain.

Beliau juga berkata BBC, yang dirasmikan pada Ogos 2021, bergerak aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kembara dan setakat ini, 10 lokasi di Semenanjung Malaysia telah dijelajahi.

“Bukan sahaja untuk santai mengisi masa lapang, aktiviti kembara ini juga mampu mengeratkan silaturahim antara ahli kelab yang terdiri daripada pelbagai unit dan jabatan di Bernama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan