AM > BERITA

MOSTI Sambut Baik Penglibatan Pelbagai Pihak Bangunkan Bidang Aeroangkasa

12/09/2024 07:05 PM

BATU PAHAT, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengalu-alukan penglibatan lebih banyak pihak termasuk swasta dan kerajaan negeri dalam bidang aeroangkasa.

Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata ia sejajar dengan usaha kementerian yang mahu memberikan penekanan dan merancakkan lagi pembangunan bidang aeroangkasa tahun ini.

“Satu daripada penekanan kita pada 2024 ialah sektor aeroangkasa, teknologi aeroangkasa. Sebelum ini beberapa negeri menunjukkan minat untuk membangunkan tapak pelancar dan juga mengadakan hubungan diplomatik untuk meneroka sektor angkasa ini. Banyak syarikat turut berminat mengadakan satelit mereka sendiri.

“Jadi dengan penyertaan Sarawak dalam sektor ini, kita amat berterima kasih sebab lebih ramai berminat, semakin rancak sektor ini. Di Malaysia ketika ini, kita ada lebih 70 syarikat swasta berasaskan bidang aeroangkasa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Selatan di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia Dr Sharmila Mohamed Salleh.

Pada Julai lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan membuka pusat latihan aeroangkasa sebagai persediaan untuk terbabit secara serius dalam industri penerbangan.

Menurutnya, pusat latihan itu akan dibangunkan di Tanjung Bako, Kuching manakala kelas teori akan diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Lundu.

Sementara itu, Aminuddin berkata agensi di bawah MOSTI juga telah menubuhkan Konsortium Industri Angkasa Malaysia (MASIC) bertujuan melengkapkan pelbagai aspek dalam bidang aeroangkasa di negara ini.

“Antara ekosistem yang mereka harap untuk dibangunkan termasuklah pembangunan, penubuhan akademi, tapak pelancar dan juga pelancaran roket itu sendiri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan