AM > BERITA

Pulau Pinang Dalam Penyediaan Penyelarasan Gaji Penjawat Awam Negeri - Chow

12/09/2024 08:18 PM

BATU KAWAN, 12 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang sedang dalam penyediaan peruntukan untuk membuat penyelarasan gaji penjawat awam negeri itu, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Tanpa mendedahkan jumlah kenaikan penyelarasan gaji itu, beliau berkata Pegawai Kewangan Pulau Pinang Datuk Zabidah Safar telah membuat pengiraan dan pengumuman akan dikeluarkan menerusi pekeliling rasmi selepas semua prosedur selesai.

"Berdasarkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini (berhubung penyelarasan gaji penjawat awam) pegawai kewangan telah pun melakukan pengiraan yang diperlukan termasuk jumlah peruntukan.

"Kami kini menilai potensi kesan dan telah membuat peruntukan untuk sebarang peningkatan yang dijangkakan dalam perbelanjaan. Kerajaan negeri juga sedang menilai dana tambahan yang diperlukan untuk menyokong pelarasan gaji ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir majlis perasmian kilang keempat Benchmark Electronics di kawasan Perindustrian Batu Kawan, di sini hari ini.

Pada 16 Ogos lepas, Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelarasan gaji peringkat pusat itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa Satu dan 1 Jan 2026 bagi Fasa Dua.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan