AM > BERITA

Pusat Dialisis Di Felda Sahabat Mudahkan Peneroka, Penduduk Sekitar Dapat Rawatan

12/09/2024 08:24 PM

LAHAD DATU, 12 Sept (Bernama) -- Kewujudan pusat dialisis di Felda Sahabat di sini yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan meringankan beban peneroka dan penduduk kampung sekitar untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Peneroka Felda Sahabat 4 dan 5 Datu Ibrahim Datu Abd Karim berkata ketika ini peneroka Felda yang mempunyai masalah buah pinggang terpaksa ke Hospital Lahad Datu dengan jarak 105 kilometer untuk melakukan dialisis.

“Dengan adanya pusat itu di sini nanti dapatlah menjimatkan wang dan masa peneroka serta penduduk di kampung sekitar," katanya kepada Bernama selepas Karnival Segalanya Felda di sini hari ini.

Pada majlis itu, Anwar meluluskan penubuhan sebuah pusat dialisis di Felda Sahabat bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar selain menambah baik kemudahan asas lain seperti lampu jalan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar luahan peneroka Felda berhubung keperluan penambahan lampu jalan berikutan terdapat kawasan jalan yang gelap sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.

"Penambahan lampu jalan ini dapat memudahkan kerja buat peneroka dan mengelakkan insiden tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka Umas-Umas 23 Sulaiman Kassim berharap lampu jalan berkenaan dapat dipasang segera bagi keselamatan semua.

“Ada kawasan yang tidak mendapat peruntukan lampu jalan dan ini memberi risiko bukan hanya kepada peneroka tetapi juga pengguna jalan raya lain,” katanya.

Ketua Peneroka Umas-Umas 1 Rahim Usman juga melahirkan rasa syukur dengan keprihatinan Perdana Menteri dalam memenuhi keperluan rakyat terutama peneroka Felda.

"Dengan adanya kemudahan asas ini dapat membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan