AM > BERITA

ANM Sedia Bekerjasama Dengan Syarikat Produksi Filemkan Tragedi Feri Karam Sg Kerian

12/09/2024 08:45 PM

PARIT BUNTAR, 12 Sept (Bernama) -- Arkib Negara Malaysia (ANM) terbuka bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi yang berminat mengadaptasi kejadian feri karam di Sungai Kerian pada 1972, sebagai sebuah filem untuk tontonan umum.

Ketua Pengarah ANM Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata bagaimanapun, sebarang filem berdasarkan tragedi itu perlu mengikut naratif seperti kejadian sebenar.

"Kita tiada masalah, tetapi seelok-eloknya mereka (pembuat filem) perlu merujuk kepada sumber atau bahan yang sahih sebelum proses perfileman itu dilakukan.

"Hal ini kerana ada produksi yang menjadikan kisah ini dalam bentuk filem, namun bercanggah daripada kisah sebenar, kita tidak mahu perkara seumpama itu berlaku," katanya selepas menghadiri Majlis Pengkisahan Sejarah Feri Karam di Sungai Kerian di Dewan Merdeka di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri 150 tetamu dalam kalangan ketua jabatan persekutuan dan negeri serta ketua komuniti dan masyarakat sekitar.

Tragedi hitam yang berlaku pada 13 Sept 1972 itu mengorbankan 27 nyawa termasuk pelajar dari Sekolah Rendah Methodist Parit Buntar dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Kerian di Parit Buntar yang berulang-alik dari Bandar Baharu, Kedah.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku sewaktu hujan lebat yang menyebabkan arus sungai menjadi deras sekali gus memutuskan tali kabel feri yang menghubungkan kedua-dua tebing Sungai Kerian di sebelah Perak (Parit Buntar) dan Kedah (Bandar Baharu).

Sementara itu, Jaafar Sidek berkata pihaknya turut berharap lebih ramai saksi atau mangsa dapat tampil berhubung dengan ANM bagi memastikan lebih banyak maklumat diperoleh berkenaan tragedi terbabit.

“Kita rasa masih ada saksi atau mangsa yang terselamat mempunyai ingatan jelas tentang tragedi. Jadi, sekiranya ada yang ingin menyalurkan maklumat sama ada dalam bentuk percakapan, penulisan dan sebagainya, boleh berhubung dengan kami,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata objektif utama penganjurannya bukan hanya untuk memberi pengetahuan kepada umum, tetapi juga akan didokumentasikan sebagai rujukan untuk penyelidik serta generasi akan datang.

“Pada majlis ini, kita berkongsi pengalaman bersama mereka yang pernah berada dalam tragedi itu dan saya fikir pengalaman itu penting serta perlu didokumentasikan untuk kegunaan para penyelidik serta generasi seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan