AM > BERITA

32,929 Pelajar Sekolah Peroleh Manfaat Program WAR SPRM

12/09/2024 09:45 PM

SHAH ALAM, 12 Sept (Bernama) -- Sebanyak 32,929 pelajar sekolah rendah dan menengah pelbagai aliran di seluruh negara setakat semalam mendapat manfaat menerusi Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata program WAR yang diperkenalkan sejak 10 tahun lepas bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman bahaya gejala rasuah itu, turut memberi manfaat kepada 4,434 orang guru daripada 181 sekolah bagi tempoh yang sama.

Norazlan berkata program itu merupakan antara usaha komited SPRM dalam mendidik dan mendapatkan sokongan segenap lapisan masyarakat bagi membanteras rasuah menggunakan tiga strategi secara serentak iaitu siasatan, pencegahan dan pendidikan.

“Pendedahan dan pendidikan mengenai kesalahan rasuah dan bahana rasuah sering kali dilakukan oleh SPRM melalui mesej anti rasuah serta program pendidikan yang dibuat dengan pelbagai pihak antaranya badan awam serta swasta, masyarakat umum dan antarabangsa serta pihak keagamaan.

“Kerjasama semua agensi penting dan sangat digalakkan dalam usaha melahirkan generasi pemimpin yang memiliki pencapaian akademik yang tinggi serta menghayati nilai-nilai integriti secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.  

Norazlan berkata demikian bagi merasmikan Program WAR Sekolah Kebangsaan Seri Utama, Sungai Besar di Sabak Bernam, dengan kira-kira 486 murid tahun 1 hingga enam serta 46 guru sekolah itu terlibat dalam program berkenaan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pendidikan di sekolah tidak hanya perlu berkisar mengenai tidak melakukan rasuah sebaliknya memberi tumpuan kepada melahirkan generasi yang memiliki sahsiah tinggi, menitikberatkan sifat jujur dan amanah.

“Sejajar dengan itu, SPRM bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menyalurkan bahan pendidikan antirasuah dan elemen antirasuah serta integriti dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 dan 5, Modul Exemplar Pendidikan Sivik serta Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral,” katanya.

Norazlan optimis sekiranya nilai integriti dihayati dan dipraktikkan pelajar mereka bukan sahaja tidak akan melakukan rasuah malah kesalahan lain seperti menipu, pecah amanah, mencuri, menyeleweng harta dan sebagainya.  

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan