AM > BERITA

Tempoh Perkhidmatan Bukan Ukuran Penjawat Awam Dinaikkan Pangkat

12/09/2024 09:14 PM

MELAKA, 12 Sept (Bernama) -- Tempoh perkhidmatan seseorang penjawat awam bukan satu ukuran atau jaminan untuk mereka dinaikkan pangkat, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata sebaliknya, seseorang itu akan dinilai berdasarkan indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan selain berilmu pengetahuan.

“Zaman ‘seniority’ mendahului proses kenaikan pangkat sudah berlalu. Justeru, penjawat awam hari ini mestilah sentiasa berusaha melaksanakan tugas melangkaui kemampuan agar sentiasa berada pada tahap prestasi yang optimum,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Perkhidmatan Awam Negeri Melaka 2023 yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad di sini hari ini.

Beliau berkata penjawat awam di negeri itu juga diingatkan agar sentiasa memelihara tatakelola yang baik serta bertindak sebagai ejen perantara rakyat dan kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik. 

Ab Rauf berkata bagi merakyatkan perkhidmatan kerajaan negeri, program turun padang iaitu ‘Wakil Rakyat kepada Rakyat’ akan dilaksana dengan lebih kerap dalam usaha memahami keperluan rakyat sehingga ke akar umbi.

“Usaha ini merupakan pendekatan baharu yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar kehadiran penjawat awam dalam komuniti dirasai oleh masyarakat,” katanya. 

Beliau juga berkata semua penjawat awam diingatkan agar terus berpegang teguh kepada integriti dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat kerahsiaan kerajaan selaras Akta Rahsia Rasmi 1972 yang mengklasifikasikannya sebagai ‘rahsia rasmi.’

Terdahulu, Ab Rauf berkata 468 penjawat awam menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang manakala 39 lagi menerima Anugerah Khas Perkhidmatan.

Beliau berkata anugerah itu merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang sepanjang 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan