AM > BERITA

Isu Sijil Halal: Boleh Berbeza Pandangan Tetapi Harus Beradab - Dr Zulkifli Hasan

12/09/2024 10:08 PM

MELAKA, 12 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata masyarakat boleh berbeza pandangan mengenai pensijilan halal di premis makanan namun perlu beradab ketika mengutarakan pendapat mereka.

Beliau berkata masyarakat, tanpa mengira agama atau bangsa, perlu berjiwa besar dalam menekuni setiap isu yang dibangkitkan bagi memelihara kestabilan politik serta keamanan dan kedamaian negara.

“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kita sentiasa tekankan adab berbeza pandangan… kita boleh berbeza pandangan namun begitu, kita kena menghormati perbezaan itu.

“Dalam erti kata lain... kami ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya berjiwa besar untuk menerima kepelbagaian pandangan,” katanya.

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Perkhemahan Perdana Pasukan Badan Beruniform Briged Bakti Malaysia Melaka di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu di sini hari ini.

Mengulas cadangan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad supaya ahli politik duduk semeja bagi membincangkan perkara itu, beliau berkata ia sering dilakukan dari semasa ke semasa dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Bukan itu sahaja, kita juga terima banyak cadangan lain dan sesi libat urus kita bukan hanya melibatkan orang politik malah pemain industri dan badan bukan kerajaan," katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar membentangkan laporan mengenai isu itu dan langkah seterusnya pada Mesyuarat Kabinet akan datang.

Pada 6 Sept lepas, Mohd Na'im berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sedang mempertimbang cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran serta syarikat makanan yang tidak menyajikan hidangan daging babi dan alkohol.

Isu itu mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata pelaksanaan pensijilan halal sepatutnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukannya secara paksa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan