AM > BERITA

YSIJ Sumbang 111 Unit Smart TV Kepada Sekolah Di Johor

12/09/2024 11:15 PM

JOHOR BAHRU, 12 Sept (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) akan memberi sumbangan 111 buah unit televisyen pintar (Smart TV) kepada sekolah-sekolah terpilih di negeri ini. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim dengan beberapa foto mengenainya turut dikongsikan di platform media sosial tersebut.

Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh berkata yayasan yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan itu sentiasa peka dengan keperluan setiap lapisan masyarakat termasuk sektor pendidikan bagi keperluan pengajaran dan pembelajaran. 

“YSIJ dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan menyumbangkan lagi 100 televisyen pintar kepada sekolah-sekolah di seluruh Johor,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai, Batu Pahat hari ini. 

Menurut hantaran itu, selain di Batu Pahat, majlis serahan sumbangan televisyen pintar turut berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tangkak yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian. 

Sumbangan berkenaan telah disampaikan kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) Jamaludin Zakaria. 

Sementara itu, majlis serahan sumbangan televisyen pintar yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengerang Utama, Kota Tinggi semalam turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin dan Pengarah JPNJ Mohd Hanafi Samad. 

Aznan dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada YSIJ atas sumbangan berkenaan yang sekali gus dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran secara lebih interaktif kepada pelajar serta guru.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan