AM > BERITA

Majlis Himpunan 24K Huffaz Malaysia Bakal Libatkan Penyertaan TVET Tahfiz

13/09/2024 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Majlis Himpunan 24K Huffaz Malaysia yang akan diadakan pada Sabtu ini di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bakal menampilkan kelainan dengan penglibatan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) Tahfiz.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) yang juga Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan PINTA Mohd Zahid Mahmood berkata majlis tersebut menyasarkan seramai 24,000 huffaz dari seluruh negara berbanding 23,000 orang tahun lepas.

Beliau berkata majlis yang akan bermula pada 11 pagi hingga 10 malam itu bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita nak memperjuangkan, memperkasakan dan memartabatkan seluruh institusi tahfiz ke persada negara dan antarabangsa," katanya ketika ditemu bual pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PINTA Kebangsaan Mohd Edrus Ab Rahman berkata Program Tabika Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang dimulakan tahun ini diyakini dapat membantu kerajaan mencapai hasrat melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050.

"Melalui program ini anak-anak yang berumur 4 tahun dan ke atas sudah dapat menghafaz Juzuk Amma dan program ini melibatkan lebih kurang 6,000 pelajar setakat ini, justeru untuk 26 tahun akan datang angka ini sudah pasti akan meningkat dan menjadi mudah untuk mencapai sasaran tersebut," katanya

Majlis himpunan tersebut merupakan kesinambungan Himpunan Huffaz 23K yang diadakan pada tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan