AM > BERITA

GISB: Anwar Arah Pihak Berkuasa, Majlis Agama Segera Siasat, Ambil Tindakan

13/09/2024 03:50 PM

KAJANG, 13 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa termasuk majlis agama Islam untuk segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan berhubung dakwaan salah laku syarikat GISB Holdings Sdn Bhd.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Iman di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu penting dan tidak boleh dilengahkan kerana melibatkan soal penyalahgunaan kuasa, agama serta penderaan kanak-kanak.

“Biar polis buat siasatan dan ambil tindakan ikut undang-undang dan pihak majlis agama terutama wilayah (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) … JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang ada kekuatan penyiasatan dan penyelidikan untuk memberikan nasihat.

“Biar ada saluran dan jangan lengahkan. Ramai tanya mengapa ada kelewatan atau kelengahan dalam mengambil tindakan? Jadi, saya telah bawa kepada badan-badan ini untuk ambil tindakan segera, siasatan dan laporan,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat GISB atas dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak di 20 rumah amal milik rangkaian syarikat itu.

Rabu lepas, PDRM dilaporkan menyelamatkan sebanyak 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan berusia antara setahun dan 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan menerusi Op Global.

Polis turut menahan 171 individu terdiri daripada tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian berumur 17 hingga 64 tahun bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mengulas dakwaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Anwar dalam jawapan ringkas berkata, “Biarlah dia (Abdul Hadi) seorang sahaja yang kuat”.

Baru-baru ini, Abdul Hadi dilaporkan mengkritik parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan lemah dan tidak berwibawa untuk menangani rakan komponen bukan Islam termasuk dalam isu sijil halal sekali gus menyebabkan pemimpin bukan Islam "naik kepala".

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan