AM > BERITA

Kenyataan Presiden PAS Tidak Bertanggungjawab, Main Sentimen Perkauman Dan Agama - Pemerhati

13/09/2024 06:09 PM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang menyifatkan pemimpin bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'naik kepala,' adalah tidak bertanggungjawab dan cuba memainkan sentimen perkauman serta agama, menurut pemerhati politik. 

Semalam, Ahli Parlimen Marang itu pada Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh dikatakan turut mendakwa pemimpin Melayu Islam dalam Kerajaan Perpaduan tidak mampu mengawal rakan pimpinan bukan Islam.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah Tunku Nashril-Abaidah berkata kenyataan itu dibuat sebagai cubaan untuk menarik perhatian serta mengalihkan fokus daripada isu-isu sebenar.

Menyifatkan kenyataan Abdul Hadi ‘seperti anjing menyalak bukit,’ beliau berkata ia bagaimanapun tidak memberikan kesan signifikan terhadap kerajaan sebaliknya Kerajaan MADANI mengambil pendekatan yang lebih inklusif dalam pentadbiran. 

“Secara keseluruhannya, pimpinan kerajaan baik Melayu, bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, berada pada satu tahap yang baik.

"Kita harus memahami bahawa kerajaan hari ini adalah satu pasukan perpaduan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan tentunya mereka mempunyai pandangan serta perspektif yang berbeza.

“Saya kira perkara itu perlu untuk kita raikan selagi mana perkara itu tidak mendatangkan mudarat kepada negara secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama. 

Senada dengan beliau, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata kenyataan Abdul Hadi memberikan gambaran tidak tepat terhadap hubungan antara pimpinan Kerajaan MADANI. 

Beliau berpandangan gambaran itu sengaja dicetuskan untuk mengucar-ngacirkan keharmonian hubungan dan kerjasama pemimpin Melayu Islam dengan bukan Islam dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya lihat semua pemimpin daripada pelbagai parti komponen menghormati nasihat, teguran dan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam apa jua konteks.

"Pimpinan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sangat terbuka dengan perbezaan pandangan dan tidak melulu dalam menangani perbezaan,” katanya.

Mohammad Tawfik berkata senario ini amat berbeza jika dibandingkan dengan Perikatan Nasional kerana apabila timbul isu yang mengundang perbezaan pandangan membabitkan pemimpin bukan Islam daripada Gerakan maka pimpinan Melayu Islam bertindak untuk terus menghalau dan mempersilakan parti itu keluar dari gabungan politik berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan sedemikian sebagai politik keras, ekstrem dan tidak matang.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan pula berkata Presiden PAS itu bersifat angkuh apabila melabel pimpinan Melayu Islam dalam Kerajaan Perpaduan sebagai lemah serta menyarankan Abdul Hadi agar melihat diri sendiri di cermin. 

“⁠Beliau lupa bahawa beliau terikut dengan kehendak rakan sekutu untuk menderhakai titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) bagi menyelesaikan kemelut 'Parlimen tergantung' pada 2022.

“⁠Beliau juga terus mempertahan perhubungan politik dengan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) apabila Tan Sri Muhyiddin terus-menerus mengkritik Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah.

“⁠Keangkuhan seorang ulama amat bahaya kepada ummah. Kita ingin melihat keberanian Presiden PAS membetulkan perkara yang sebahagiannya berpunca daripada beliau sebelum dengan angkuh melabel pimpinan lain lemah,” menurutnya dalam satu kenyataan. 

Selain itu, Amidi berkata Abdul Hadi tidak bersuara ketika Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr Radzi Jidin 'melalak dan melolong' menuduh Anwar sebagai peliwat tanpa mendatangkan empat saksi seperti yang ditetapkan oleh al-Quran. 

Beliau berkata Abdul Hadi tidak berdaya dan lemah untuk menghentikan pencemaran fikrah yang boleh menjerumuskan umat kepada pemikiran khawarij dalam PAS serta lemah untuk membersihkan elemen salah laku dan kerosakan integriti yang berlaku dalam keluarga beliau sendiri.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan