AM > BERITA

JPA Laksana Penyeragaman Dan Penggelaran Semula Jawatan

13/09/2024 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan penyeragaman dan penggelaran semula gred jawatan antara skim perkhidmatan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) secara menyeluruh.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, langkah itu dilakukan dalam usaha menangani isu ketidaksamaan antara skim perkhidmatan di bawah SSM sebelum ini.

Pekeliling itu memaklumkan gred jawatan SSM 19 dan 20 dengan kelayakan masuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditukarkan ke gred SSPA 1; Gred SSM 21, 22 dan 24 ditukarkan ke Gred SSPA 2; Gred SSM 25 dan 26 (Gred SSPA 3), manakala 27 dan 28 menjadi Gred SSPA 4.

Bagi kelayakan masuk peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Diploma, bermula dengan Gred SSM 29 dan 30 ditukar kepada Gred SSPA 5; Gred SSM 31 hingga Gred 36 (kenaikan pangkat pertama) ditukar ke Gred SSPA 6, manakala Gred 36 (kenaikan pangkat kedua) hingga 38 (Gred  SSPA 7) dan Gred 39 dan 40  pula (Gred SSPA 8).

Menurut pekeliling yang dipaparkan di laman sesawang JPA itu, untuk kelayakan masuk peringkat Ijazah yang bermula gred SSM 41 dan 42 ditukarkan ke Gred SSPA 9, manakala Gred SSM 43 dan 44 menjadi Gred SSPA 10, Gred SSM 45 dan 46 kepada Gred SSPA 11, manakala Gred SSM 47 dan 48 menjadi Gred SSPA 12.

“Bagi Gred SSM 51 dan 52 akan menjadi Gred SSPA13, manakala Gred 53 dan 54 Gred SSPA 14 serta Gred SSM 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15,” menurut pekeliling itu.

Bagi memastikan penggunaan sumber manusia secara optimum, pekeliling itu turut memaklumkan sebanyak 22 skim perkhidmatan telah dijumudkan berdasarkan beberapa kriteria iaitu perkhidmatan yang fungsinya tidak lagi diperlukan, boleh diambil alih oleh perkhidmatan lain, diasingkan saraan atau dialih daya.

Menurut pekeliling itu, antara skim perkhidmatan yang dijumudkan seperti jawatan pemandu lokomotif, jurusolek, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), penolong pensyarah UiTM, pengurus tanaman/ladang, merinyu tali air, pegawai penyelidik sossial, pengurus asrama, pegawai penerbitan dan penyelia asrama.

Pegawai yang terlibat dengan penjumudan skim perkhidmatan akan ditawarkan opsyen pertukaran pelantikan ke skim perkhidmatan yang berkuat kuasa di bawah SSPA.

Penjawat awam yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang pekeliling berkenaan boleh melayari laman sesawang JPA di https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan