AM > BERITA

Petronas BeDigital Bootcamp Kukuh Literasi Digital, Tingkat Prospek Pekerjaan

14/09/2024 11:54 AM

BUTTERWORTH, 14 Sept (Bernama) -- Penganjuran Petronas BeDigital Bootcamp adalah untuk mengukuhkan literasi digital pelajar, meningkatkan prospek pekerjaan, menambah baik kebolehpasaran dan meneroka keusahawanan digital dalam menyokong aspirasi digital negara.

Bagi penganjuran edisi wilayah utara, sebanyak 98 peserta dari lima universiti iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) terlibat dalam program berkenaan.

Naib Presiden Penyampaian Projek Kumpulan, Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas Shah Rizal Dahlan berkata program itu dijalankan selama 12 hari di UiTM cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh, di sini.

"Petronas BeDigital Bootcamp dijalankan dengan kerjasama rakan kongsi kami dan ia adalah satu usaha berterusan pihak kami untuk memastikan graduan tempatan dapat memenuhi tuntutan era digital yang kompetitif di luar sana.

"Peserta akan didedahkan dengan kemahiran digital dan keusahawanan yang sesuai untuk memastikan mereka kekal bersaing sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang pekerjaan," katanya semasa berucap pada majlis penutup Petronas BeDigital Bootcamp 2024 wilayah Utara di sini malam tadi.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut hadir Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Bacho Pilong.

Shah Rizal berkata modul di Petronas BeDigital Bootcamp sentiasa dikemas kini mengikut keperluan pasaran termasuk kemahiran digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber serta  kemahiran pembentangan menerusi Shark Tank Pitch.

Beliau berkata peserta kali ini adalah kohort 10 dan secara keseluruhannya menerusi program tersebut sebanyak 860 pelajar, 27 universiti tempatan dan lebih 90 rakan kongsi terlibat selain 276 pekerjaan telah berjaya dipadankan sejak ia diperkenalkan pada 2022.

"Ini adalah Petronas BeDigital Bootcamp yang kelima pada tahun ini dan sebelum ini kami telah menjalankan program tersebut edisi Pantai Timur dan Wilayah Selatan serta Sabah dan Sarawak,” katanya.

Petronas BeDigital Bootcamp adalah antara usaha dijalankan Petronas dalam memastikan kebolehpasaran graduan dalam dunia pekerjaan dapat dipertingkatkan dan ia mula diperkenalkan di Kota Kinabalu, Sabah pada Mac dan Ogos 2022 dengan masing-masing 18 dan 50 pelajar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan