AM > BERITA

Apot Saad ‘The Big Nose Trekker’ Meninggal Dunia Pada Usia 75 Tahun

14/09/2024 03:49 PM

KAMPAR, 14 Sept (Bernama) -- Pesara polis Sarjan Mejar Apot Saad yang terkenal dengan gelaran The Big Nose Trekker dalam pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) VAT69 Komando, telah meninggal dunia di Hospital Kampar malam tadi.

Mendiang yang berusia 75 tahun itu meninggal dunia kira-kira jam 12.40 tengah malam tadi, akibat jangkitan kuman di paru-paru dan sesak nafas.

Anak mendiang Sarjan Mulyadi Apot, 42, berkata pada 1 Sept, ayahnya telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan doktor telah mengesahkan paru-parunya telah dijangkiti kuman.

“Pada waktu itu keadaan ayah agak kritikal, orang kata itu dah tahap yang tinggilah dengan demam panas memang tinggi dan dia sukar bernafas dan memerlukan oksigen.

“Selepas 11 Sept doktor kata keadaan beliau semakin pulih, namun tak sangka awal pagi tadi dia telah meninggal dunia,” katanya.

Mulyadi berkata dia turut berasa terkilan kerana malam tadi ada niat mahu melawat, namun atas permintaan ibunya yang mahu dia berehat terlebih dahulu kerana baru sahaja pulang daripada perjalanan jauh, iaitu daripada kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu, ia tidak diteruskan.

“Bulan November 2023, jantung mendiang pernah berhenti dua kali di Hospital Kampar dan doktor cuba bagi dia heart press, kemudian doktor ambil keputusan pindahkan terus ke Ipoh dan diletakkan di wad CCU serta ditidurkan dua minggu,” katanya.

Mulyadi yang merupakan anak keempat berkata ketika ayahnya masih hidup, beliau sering berpesan kepadanya supaya menjadi anggota polis yang berintegriti.

“Kata nasihat yang paling berertilah bagi saya sebagai seorang anggota polis ini kerja mestilah penuh dengan integriti, jujur, setia tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang dalam PDRM. 

“Itulah yang paling selalu dinasihatkan, berbagai-bagai lagi nasihat supaya jaga keluarga semua dan paling penting jaga kesihatan,” katanya.

Beliau berkata mendiang akan dikebumikan tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai di sini, pada 4 petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mendiang.

“Segala keperluan dan bantuan yang diperlukan, boleh sahaja memaklumkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di rumah kakak mendiang di Batu Berangkai, Kampar di sini hari ini.

Apot merupakan penerima tunggal Panglima Gagah Berani sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, pada 2013.

Kerjaya Apot dalam PDRM bermula sebagai anggota Senoi Praaq, sebelum beralih ke VAT 69 pada 1970. Beliau dianggap sebagai kumpulan perintis Orang Asli negara yang berjuang menentang komunis.

Kebolehan Apot yang dianggap pakar penjejak dan diberi gelaran The Big Nose Trekker, menyebabkan Orang Asli dari kaum Semai ini digeruni pengganas komunis.

Antara operasi yang disertai Apot ialah Ops Catfish, Ops Kambing, Ops Bamboo, Ops Manis dan Ops Indera, antaranya di Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan