AM > BERITA

Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Santuni Editor Sambilan NST

14/09/2024 06:03 PM

PENAMPANG, 14 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menyantuni editor sambilan News Straits Times (NST) Roy Anthony Goh, yang terkena serangan angin ahmar, di kediamannya di Kampung Dabak dekat sini.

Dalam kunjungan itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Goh, 54, yang merupakan penerima ke-147 tabung tersebut sejak ia diperkenal pada April 2023.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, adalah bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.

"Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).  Goh merupakan penerima ke-12 di Sabah setakat ini ...pihak Bernama mengelola serta mengendalikan tabung itu dan saya difahamkan minggu depan juga ada penerima yang akan menerima sumbangan ini.

"Perdana Menteri telah menyediakan dana sebanyak RM2 juta untuk tujuan menyantuni, menjaga kebajikan dan memastikan para wartawan terbela nasib mereka. Harapan saya, saudara Goh dan keluarga akan dapat manfaat daripada sumbangan ini," katanya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Menteri Keusahawanan dan Koperasi Datuk Ewon Benedict yang juga Ahli Parlimen Penampang serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Nasriah Darus.

Fahmi turut meminta pihak Bernama supaya bekerjasama dengan kelab media di setiap negeri untuk segera mengenal pasti dan menyalurkan bantuan Tabung Kasih@HAWANA lebih pantas.

"Tidak semestinya Menteri, Timbalan Menteri atau Ketua Pegawai Eksekutif Bernama perlu hadir untuk menyampaikan sumbangan ini… apa yang kita mahu bantuan ini segera sampai kepada semua yang memerlukan," katanya.

Goh disahkan menghidap angin ahmar sejak Julai 2018 menyebabkan pergerakan beliau terbatas kerana bahagian tangan serta kaki kanannya lemah dan kini menjalani rawatan secara berkala.

Beliau mula berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak 1993 sebagai editor di Borneo Mail selama lapan tahun sebelum berkhidmat sebagai koresponden The Sun pada 2001, Ketua Editor di Borneo Post dari 2001 hingga 2004 serta editor tetap NST selama 14 tahun dari 2004 hingga 2018. 

Ewon pula berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan beban Goh yang baru-baru ini turut terlibat dalam musibah banjir di Penampang.

"Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi kerana datang melawat Goh yang menetap di kawasan saya… saya harap program seumpama ini terus dilaksanakan untuk membantu rakan-rakan media yang memerlukan sokongan terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan," katanya.

Bagi Goh, bantuan itu memberi banyak manfaat kepada beliau dan keluarga.

"Terima kasih kepada Tabung Kasih@HAWANA dan saya berharap bantuan ini juga akan disalurkan kepada rakan-rakan media yang memerlukan bukan sahaja mereka yang mengalami masalah kesihatan tetapi masalah lain seperti banjir.

"Kini saya masih aktif menulis sebagai pemberita sambilan dan saya juga berkebun secara kecil-kecilan di halaman rumah selain membuat serta mengusahakan wain beras," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan