AM > BERITA

Perajurit Muda, Anggota ATM Perlu Manfaat Program WBL

15/09/2024 01:06 PM

PORT DICKSON, 15 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menggalakkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perajurit muda menyertai program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) untuk memiliki sijil peringkat pengajian tinggi bagi menceburi bidang lain setelah bersara. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu hasil kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), antara inisiatif kementerian bagi memastikan anggota memiliki sijil diploma atau ijazah seperti dilaksanakan di Jerman dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata anggota berusia 41 hingga 45 tahun masih mampu menyumbang kepada kemajuan negara dalam pelbagai bidang.

"Sebahagian besar anggota ATM bersara pada umur 41 tahun, usia itu sepatutnya diperlukan untuk menyumbang kepada kemajuan negara dan kalau masuk pasaran kerja tanpa apa-apa, sangat merugikan.

"… jadi atas itulah kita sediakan program ini, apabila bersara kelak anggota ini ada peranan dalam soal menyumbang kepada pembangunan kemajuan negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Siri 200/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera (PUSASDA) di sini hari ini. 

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata usaha ini lambang keprihatinan kerajaan terhadap seluruh warga ATM dan perlu dimanfaatkan sebaiknya perajurit muda mempelbagaikan kemahiran masing-masing dalam berbagai-bagai bidang.

"Kita sentiasa menghargai sumbangan mereka … walaupun sudah keluar atau bersara, mereka dibekalkan diploma atau ijazah," katanya.

Beliau berkata anggota ATM berpeluang mengikuti enam pilihan penilaian yang ditawarkan iaitu Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pendidikan Islam, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Diploma Sains dan Rekreasi serta Diploma Sains Geomatik.

Mengulas mengenai program hari ini, Mohamed Khaled berkata seramai 1,144 perajurit muda menamatkan latihan yang dijalani sejak 8 Mac. 

Sarawak merekodkan jumlah pelatih paling ramai iaitu 230 manakala Sabah 196 anggota.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan