AM > BERITA

Belanjawan 2025 Diharap Tingkatkan Promosi Pelancongan Pulau Pinang

15/09/2024 02:51 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Persatuan pelancongan di Pulau Pinang berharap kerajaan dapat meningkatkan peruntukan sektor berkenaan dalam Belanjawan 2025 sebagai usaha mempromosi Pulau Mutiara di luar negara sekali gus menarik lebih ramai pelancong. 

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh berkata promosi atau kempen memperkenalkan negeri itu sebagai destinasi menarik di Malaysia bukan hanya terbatas di beberapa negara sebaliknya perlu diperluaskan ke seluruh dunia. 

"Kita harap peruntukan sektor pelancongan ditingkatkan pada belanjawan kali ini kerana perlu lebih banyak kempen serta promosi mengenai Pulau Pinang ke negara luar seperti di Eropah, Rusia dan banyak lagi serta bukan hanya (promosi) di China sahaja.

"Perlu juga jerayawara untuk memperkenalkan pusat-pusat konvensyen yang ada di negeri ini kerana ia bukan sahaja dapat membawa pelancong malah perniagaan kerana mereka (pelancong) ialah golongan korporat serta ahli perniagaan, ini peluang untuk terus merancakkan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya juga berharap cukai pelancongan dapat diagihkan sama rata iaitu 50 peratus untuk kerajaan pusat manakala 50 peratus lagi bagi kerajaan negeri supaya kerajaan negeri dapat menggunakannya bagi meningkatkan sektor pelancongan di negeri masing-masing.

Tony berkata dengan cukai itu, lebih banyak promosi dan kempen pelancongan dapat dijalankan oleh kerajaan negeri dalam usaha menarik pelancong luar negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang Clement Liang berkata selain penambahan peruntukan kempen dan promosi, pihaknya berharap kerajaan menambah baik serta meningkatkan infrastruktur di kawasan pelancongan.

Beliau berkata sebagai contoh di Pulau Pinang, banyak destinasi menarik tiada kemudahan parkir untuk bas persiaran yang menyukarkan agensi pelancongan membawa pengunjung melawat kawasan berkenaan.

"Selain itu, perlu lebih banyak risalah pelancongan mengenai Pulau Pinang dalam pelbagai bahasa yang bukan hanya bahasa Inggeris, Cina dan Arab sahaja kerana kita perlu promosikan ke negara-negara lain juga seperti Rusia, Afrika Selatan dan Eropah.

"Kalau kita pergi ke negara jiran, banyak pelancong dari Rusia dan Afrika Selatan bercuti di sana. Ini kerana kerajaan menyediakan risalah dalam bahasa negara berkenaan yang memudahkan pelancong," katanya.

Presiden Pemandu Pelancong Mutiara Mohd Latiff Fatteh Mohamed pula berkata baru-baru ini pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung  Belanjawan 2025.

Beliau berkata antara perkara yang dibangkitkan termasuk memastikan terdapat senarai pemandu pelancong berlesen di pintu masuk negara bagi memudahkan pelancong mendapatkan khidmat mereka dan bukan menerusi pemandu pelancong haram.

Pemandu pelancong berlesen mempunyai kemahiran dalam bidang itu malah mereka menghadiri kursus pemantapan kompetensi seperti kursus Continuing Tourism Related Education (CTRE) sebagai prasyarat permohonan pembaharuan lesen. 

"Banyak perkara yang kami bincangkan dan ketengahkan bukan hanya untuk meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini malah merancakkan ekonomi peniaga," katanya.

Dalam tempoh 2023 dan 2024, ekonomi Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan pesat didorong pemulihan semula sektor pelancongan yang merekodkan hampir tujuh juta pergerakan penumpang pada 2023 iaitu peningkatan 64.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt ini bertemakan “Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera”.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan