AM > BERITA

Agensi, Pihak Berkuasa Agama Diseru Kukuhkan Ilmu, Nilai Murni Pelajar - Mohd Na’im

15/09/2024 03:05 PM

JOHOR BAHRU, 15 Sept (Bernama) -- Agensi hal ehwal Islam, khususnya pihak berkuasa agama  negeri, diseru untuk memberi fokus yang jitu kepada usaha pengukuhan penguasaan ilmu dan pembinaan nilai murni pelajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perkara itu adalah mustahak untuk melahirkan generasi yang dapat menterjemahkan ilmu pengetahuan kepada adab, akhlak, dan peribadi mereka.

“Pendidikan adalah asas yang sangat penting untuk membangunkan karamah insaniah.Melalui pendidikan, asas ilmu, adab dan akhlak insan dibentuk dengan bersuluhkan pedoman Rabbani.

“Aspek kaedah pengajaran dan pembelajaran juga perlu dipelbagaikan serta disesuaikan dengan cabaran semasa dalam era kepesatan teknologi hari ini,” katanya ketika berucap pada penutupan Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Justeru itu, Mohd Na’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri, akan terus bekerjasama meneruskan program seperti MIISMAM yang mempertandingkan acara seperti tilawah al-Quran, nasyid, hafazan dan syarahan.

Beliau berkata acara tahunan itu merupakan platform bagi 220 sekolah agama di bawah seliaan dan kawalan pihak berkuasa agama negeri untuk bersaing dalam mengasuh serta membentuk potensi diri anak-anak berbakat dalam pelbagai bidang ilmu dan kemahiran.

Menurutnya program tersebut juga merupakan agenda dalam mengaplikasikan Membangun Malaysia MADANI, yang mana elemen pembangunan insaniah menjadi hala tuju pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Na’im pada masa sama mencadangkan agar penganjuran MIISMAM ditambah baik pada masa akan datang seperti menambah acara pertandingan bagi mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang kini melibatkan seramai 58,918 orang.

Sementara itu, dalam sidang media beliau berharap agar JAKIM turut mempergiat usaha bagi mempromosi MIISMAM agar lebih ramai yang cakna dengan program berbentuk keagamaan seperti itu.

Terdahulu, Johor yang merupakan tuan rumah bagi penganjuran MIISMAM kali ini diumum sebagai juara keseluruhan berdasarkan pencapaian empat johan dan tiga naib johan dalam 11 acara yang dipertandingkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan