AM > BERITA

Industri Florikultur Perlu Diteroka, Potensi Jana Ekonomi Negara

15/09/2024 04:15 PM

SERDANG, 15 Sept (Bernama) -- Industri florikultur memiliki potensi besar untuk diterokai kerana mampu menjana imbangan perdagangan yang positif bagi ekonomi negara, kata Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.

Beliau berkata industri itu telah menyumbang RM2.68 bilion kepada eksport negara dari 2018 hingga tahun lepas dan Malaysia menjadi pengeksport florikultur ke-10 terbesar dunia serta peneraju dalam kalangan negara ASEAN dengan nilai eksport RM405.3 juta pada tahun lepas.

"Ini satu industri yang memberikan sumbangan signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

"Jabatan Pertanian telah diberikan tanggungjawab untuk menonjolkan kepentingan dan peranan industri florikultur sebagai satu daripada penyumbang kepada imbangan perdagangan positif sektor pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Laman Agro-Food Florikultur 'Miracle Garden’ Jabatan Pertanian sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini hari ini.

Nor Sam berkata industri florikultur juga perlu dikembangkan sebagai pelengkap kepada industri pertanian negara memandangkan bunga-bungaan mempunyai pelbagai sifat dan kegunaan yang boleh membantu meningkatkan produktiviti tanaman lain.

"Kita boleh gunakan bunga-bungaan tertentu untuk tujuan menghalau serangga perosak. Bunga-bungaan ada bau tertentu yang mungkin tidak digemari serangga perosak menyebabkan mereka tidak menyerang tanaman. 

“Contohnya, di kawasan tanaman padi, kita galakkan penanaman bunga tahi ayam dan 'bunga kembang pukul 10' (juga dikenali sebagai Ros Jepun). Dengan ini kita dapat mengurangkan penggunaan racun serangga kimia," katanya.

Pada majlis hari ini turut menyaksikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan Laman Agro-Food Florikultur 'Miracle Garden', antara tarikan utama pengunjung MAHA tahun ini.

Laman berkenaan dihiasi 100 jenis tanaman bunga-bungaan segar bewarna-warni sebagai simbolik kepada kepelbagaian etnik, agama, budaya dan tradisi di Malaysia, dan menjadi cerminan kepada aspirasi Malaysia MADANI dalam membentuk negara yang harmoni dalam kepelbagaian.

Dr Wan Azizah turut melancarkan Buku Pakej Teknologi Tanaman Ros terbitan Jabatan Pertanian yang menyediakan panduan komprehensif tentang tanaman ros meliputi aspek botani, amalan penanaman, pengurusan penyakit, penuaian serta potensi produk hiliran, dan aliran kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan