AM > BERITA

MoU Peruntukan Pembangkang : Masih Terbuka Untuk Dirunding - Ahmad Zahid

15/09/2024 08:29 PM

SHAH ALAM, 15 Sept (Bernama) -- Kerajaan terbuka sekiranya memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding sekali lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, beliau berkata ia tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada Perikatan Nasional(PN), sebelum ini.

Beliau berkata draf itu telah dirangka dengan kandungan dan beberapa syarat mengikut apa difikirkan sesuai oleh kerajaan dan diserahkan kepada PN untuk dibincangkan dengan Ahli Parlimen mereka.

“Itu terpulang kepada mereka, kerajaan telah mengemukakan draf itu dan kalau mereka mahu menerima, terimalah tanpa syarat, ataupun mungkin boleh diadakan perincian daripada segi perundingan.

“Kalau tidak terima, kita lupakan sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan pembangkang sebulat suara menolak draf MoU itu atas empat sebab utama, yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, dengan beberapa syarat dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan antara lain hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengetuai rundingan itu bagi pihak kerajaan dilapor berkata setakat ini kerajaan masih menunggu surat rasmi daripada pembangkang mengenai penolakan itu.

“Kita akan bincang lanjut sama ada kita perlu meneruskan rundingan atau jika ini keputusan muktamad daripada pihak pembangkang yang mereka tidak mahu berunding lagi,” menurut Fadillah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan