AM > BERITA

Tolak Perpecahan, Julang Kebersamaan, Lonjak Potensi Negara Bersama - Anwar

16/09/2024 11:06 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia menghayati erti penubuhan Malaysia yang bebas dan merdeka serta menolak perpecahan dan permusuhan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.

Perdana Menteri dalam catatan di Facebooknya hari ini turut mahu seluruh rakyat Malaysia menjulang kebersamaan bagi melonjakkan potensi dan keupayaan negara ke tahap tertinggi.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia yang diraikan saban tahun harus menjadi cetusan semangat dan manifestasi perpaduan selain menzahirkan kecintaan mendalam terhadap tanah air dalam kalangan rakyat merentasi kaum, agama dan budaya.

"Selama 61 tahun, negara Malaysia yang kita cintai telah terbentuk, dan dalam tempoh itu, pelbagai rintangan yang mematangkan telah berjaya kita tempuhi bersama-sama.

"Selamat menyambut Hari Malaysia Ke-61," kata Anwar.

Hari Malaysia yang disambut 16 Sept setiap tahun diadakan bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 1963.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaaan akan diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan