AM > BERITA

NAFAS Perkenal Kit Pertanian Bandar, Galak Lebih Ramai Tanam Sayur Di Rumah

16/09/2024 11:38 AM

SERDANG, 16 Sept (Bernama) -- ‘Satu rumah, satu tanaman’, itulah aspirasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam memperkenalkan Kit Pertanian Bandar buat orang ramai.

Penolong Pengurus NAFAS Agri Services Sdn Bhd Abdul Khaliq Rahim berkata dengan pengenalan kit berkenaan, NAFAS berharap ia dapat memudahkan lebih banyak keluarga di kawasan bandar untuk mula menanam sayur di rumah masing-masing.

Beliau berkata kit yang dijual pada harga RM40 itu lengkap dengan segala keperluan untuk menanam sayur di rumah terdiri daripada bekas tanaman, tanah, benih dan baja 15/15/15 keluaran NAFAS.

"Kita memang ingin galakan supaya setiap rumah mempunyai satu tanaman kerana di samping satu amalan yang lestari, ia juga dapat membantu menampung sedikit beban kos sara hidup.

"Melalui kit ini, orang ramai boleh dapati bahawa ia sebenarnya sangat mudah untuk menanam sayur sendiri di rumah dan sayur-sayuran yang disediakan juga adalah jenis mudah tumbuh dan dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi demonstrasi Kit Pertanian Bandar semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini. 

Abdul Khaliq berkata kit berkenaan mempunyai lima jenis sayuran iaitu Dwarf Pak Choy, White Stem Pak Choy, Green Round Amaranth, Chinese Kale dan Lettuce Looseleaf.

Ia boleh digunakan bagi tiga atau empat kitaran tanaman dengan setiap kitaran mengambil masa kira-kira sebulan sebelum sayuran yang ditanam matang dan sedia untuk dituai.

Orang ramai boleh mendapatkan kit itu pada harga istimewa iaitu RM35 di reruai NAFAS sepanjang MAHA 2024 yang berlangsung hingga 22 Sept ini, katanya.

"Kit ini juga boleh dibeli di ibu pejabat NAFAS, laman Shopee Pemasaran NAFAS serta ejen yang dilantik,” katanya.

Orang ramai juga boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads, dan Tiktok iaitu @nafashq untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di MAHA 2024.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan