AM > BERITA

Umat Islam Wajar Terus Jadikan Rasulullah Sebagai 'Uswatun Hasanah' - PM Anwar

16/09/2024 11:43 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata umat Islam wajar terus menjadikan Nabi Muhammad SAW yang merupakan murabbi terunggul dan teragung umat sebagai ‘Uswatun Hasanah’ atau teladan yang baik, ketika dunia kini dibadai kemarau contoh dan suri teladan.

Perdana Menteri berkata Rasulullah wajib diberi sorotan penuh perhatian, bukan sahaja dari segi keperibadian baginda, tetapi mencakupi sisi kepimpinan negara, masyarakat dan keluarga khususnya dalam konteks model negara bangsa Madinah.

“Cita-cita negara yang MADANI tidak lepas dari mengambil ibrah (pengajaran) dan model Piagam Madinah yang dipelopori Baginda, berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan bertiangkan keadilan dan ihsan,” katanya dalam catatan di Facebook sempena Maulidur Rasul hari ini.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024/1446H yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan tersebut, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri dan kira-kira 6,000 tetamu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan