AM > BERITA

Maulidur Rasul 1446h Disambut Penuh Pengisian, Perarakan Meriah

16/09/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024 di seluruh negara disemarakkan dengan pengisian pelbagai program dan perarakan berwarna-warni kontinjen terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi melahirkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Di PUTRAJAYA, Yang di-Pertuang Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat pada sambutan peringkat kebangsaan yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI’ berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kira-kira 6,000 tetamu.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri juga meriah dengan segenap lapisan masyarakat menyertai perarakan yang diadakan sejak awal pagi.

Di JOHOR, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan mengetuai perarakan sambutan peringkat negeri di Kota Tinggi dengan diiringi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Lebih 8,000 umat Islam, termasuk 50 kontinjen jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat menyertai perarakan itu yang bermula kira-kira 7.30 pagi, sejauh 1.3 kilometer (km) dari Padang Awam Bukit Kerajaan Kota Tinggi dan berakhir di Masjid Bandar Kota Tinggi.

Sambutan di SELANGOR pula bermula sebaik keberangkatan tiba Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 pagi dengan diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Majlis yang disertai kira-kira 600 hadirin itu diisi dengan alunan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dipimpin oleh kumpulan Marhaban Masjid Sultan Abdul Aziz Shah dan ceramah khas Maulidur Rasul disampaikan oleh Ustaz Firdaus Subhi. 

Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke sambutan peringkat negeri yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dengan dihadiri 3,000 hadirin.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat ke majlis sambutan peringkat negeri yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh, pada 10 pagi dengan disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, barisan exco kerajaan negeri dan orang kenamaan.

Sambutan bertemakan ‘Mendepani Cabaran Merealisasikan Wawasan’ itu diisi dengan pelbagai program keagamaan termasuk zikir Asma’ Al-Husna diikuti persembahan silat serta bacaan al-Quran dan selawat beramai-ramai.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyampaikan beberapa anugerah, antaranya Anugerah Keluarga Ammar Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) kepada pesara pembantu tadbir kesetiausahaan, Rohani Tandaik, 65,  dan Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) kepada Pensyarah Kanan Kolej Komuniti Gerik Dr Mohd Fahmi Abdul Khir, 50.

Selain itu, baginda turut menyampaikan Anugerah Zaid bin Thabit (Tokoh Pengamal Media) kepada Ketua Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Roslan Ariffin, 58.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat menyertai perarakan peringkat negeri di Padang Majlis Bandaraya Seremban.

Turut serta anakanda putera baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz bersama Tunku Zain Al-'Abidin.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bersama 71 kontinjen bersama 5,000 peserta daripada agensi kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi awam, pelajar sekolah serta masyarakat Orang Asli turut menyertai perarakan sejauh 2.7km.

Sementara itu, di  MELAKA Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan negeri turut bersama-sama 6,234 peserta daripada 121 kontinjen memeriahkan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri yang bermula di Stadium Tun Fatimah di Bukit Serindit hingga Dataran Pusat Islam Melaka, Bukit Palah.

Sambutan di SABAH pula menyaksikan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni mendahului perarakan sejauh 1.9km dari Dewan Masyarakat Kota Kinabalu ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta ratusan peserta.

Di PULAU PINANG, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh Man, 70, yang memegang kerusi DUN itu selama dua penggal iaitu 2009 hingga 2018, dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri tahun ini.

Terdahulu, perarakan membabitkan 43 pasukan terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta diadakan di sekitar bangunan Dewan Seri Pinang di sini dengan diketuai Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak diiringi Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Sementara itu, di KEDAH, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang mewakili Sultan Kedah menyempurnakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar.

Sambutan di TERENGGANU pula berlangsung secara sederhana dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Mizan Zainal Abidin.

Di KELANTAN, walaupun tiada sambutan dijalankan, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam perutusannya berkata Kelantan cukup optimis membina negeri dengan dasar dan pendekatan bersandarkan Islam, malah ajaran dibawa Rasulullah SAW turut memberikan panduan komprehensif serta holistik untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan dalam hidup.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan